Namun, gelaran itu tidak sedikit mematahkan semangatnya untuk berbakti kepada tanah air tercinta walaupun pernah berkhidmat dalam pasukan tentera selama 10 tahun.

Menurut bekas sarjan ini, keputusan berhenti daripada pasukan tentera pada awal 1975 dibuat bagi menghormati permintaan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur.

Ujarnya, ekoran itu, dia menganggur selama enam bulan sebelum permohonan memasuki polis diluluskan pada September 1975 dan terus diserap ke dalam pasukan F selepas tamat rekrut di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Mengimbau kembali kenangan dan pengalaman bertugas dalam Pasukan F, Chin Teng memberitahu, perkara yang tidak boleh dilupakan adalah semasa melakukan penyamaran sebagai rekrut baru komunis di Gopeng, Perak selepas diberi tempoh sebulan untuk meneliti dokumen berkaitan parti terbabit.

Kesempatan yang diberikan itu membolehkan beliau merancang strategi untuk memerangkap komunis menerusi beberapa laluan yang telah dirancang bersama pasukannya yang ketika itu diketuai Kamarudin Hashim dan Abdullah Hamid.

“Dalam operasi itu, saya diberikan M16 dan selaras Browning. Kira-kira pukul 11 pagi, komunis datang tetapi mereka tidak melalui laluan yang dirancangkan sebaliknya melalui jalan tepi.

“Mereka bagi isyarat untuk naik meninjau tetapi turun semula selepas salah seorang daripadanya menyatakan terdapat ‘anjing’,” katanya ketika ditemui Mega Wira di Pulapol di sini baru-baru ini.

Chin Teng memberitahu, selepas mendapati pasukan komunis mengetahui kewujudan polis, dia bersama pasukan terpaksa melepaskan tembakan dan menyebabkan tiga orang komunis mati manakala selebihnya berundur.

Katanya, walaupun berjaya dalam misi tersebut namun pasukannya tidak dibenarkan keluar kerana terdapat maklumat yang menyatakan akan ada satu lagi kumpulan komunis menghala ke kawasan berkenaan dan laporan berkenaan insiden tembakan diletakkan di dalam ‘dead letter box’ atau peti surat mati.

“Saya bersama rakan-rakan terpaksa tidur dengan mayat komunis sehingga siang. Kira-kira pukul 2 petang, kumpulan yang dinyatakan tiba dan bom jerangkap Claymore dipasang.

“Tetapi mereka tidak melaluinya dan bergerak ke lokasi lain kerana mengesyaki kehadiran polis. Oleh itu, tembakan terpaksa dilepaskan dan mengenai dua komunis,” jelasnya yang memberitahu operasi terbabit berjaya tanpa sebarang kecederaan pada pasukannya.

Menurut anak kelahiran Alor Star, Kedah ini, selain operasi di Gopeng, satu lagi operasi yang tidak dapat dilupakan adalah semasa menyertai pasukan yang diketuai Tuan Bob di sebuah kebun getah yang mana seorang detektif India menyamar sebagai penduduk setempat dan bekerja sebagai penoreh getah.

Ujarnya, kerana menyangka India terbabit sebagai penduduk tetap, komunis selalu datang ke rumahnya.

“Kita mengatur strategi untuk memerangkap komunis berkenaan dengan mengubah suai rumah tersebut menjadi lebih besar kononnya untuk mengadakan majlis perkahwinan tetapi dinding dikosongkan untuk beberapa anggota bersembunyi di dalamnya.

“Anggota bersembunyi kira-kira dua hari dan hanya makan biskut kering sahaja. Sebahagian lagi berada di dalam semak dan mengawal kawasan sekitar supaya komunis yang masuk tidak berjaya melepaskan diri sekiranya kehadiran polis dikesan,” katanya.

Chin Teng berkata, pada hari kejadian, lima orang komunis datang mengucapkan tahniah atas perkahwinan berkenaan namun hanya empat sahaja yang masuk ke dalam rumah tersebut manakala seorang lagi berada di luar.

Katanya, operasi tersebut berjaya seperti yang dirancang dan lebih membanggakan apabila detektif India yang menyamar itu tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun tembakan menggunakan M16 dilepaskan.

Bagi Chin Teng yang menyertai banyak operasi termasuk Operasi Kelah dan Operasi Taloong, pasukan F Cawangan Khas merupakan unit memerangi pengganas komunis yang terbaik malah strategi yang diatur juga berjaya tanpa mengorbankan anggotanya.