Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, kesepaduan itu haruslah digarap supaya tidak dicemari oleh budaya tidak sihat sehingga boleh memecah-belahkan anggota.

Menurut beliau, warga Tentera Darat semestinya berbangga kerana ketumbukan yang wujud pada hari ini berdiri teguh hasil daripada sikap warganya yang sentiasa bersatu dalam melaksanakan tugas mahupun menghadapi pelbagai cabaran.

Ujarnya lagi, kesatuan tersebut memerlukan pengukuhan kesepaduan angkatan yang bertunjangkan kesetiaan, kepatuhan, semangat setia kawan dan sifat kepunyaan terhadap nilai sepunya yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Darat.

“Kesetiaan yang saya maksudkan adalah melalui perhubungan vertikal di antara pemerintah dan anggota yang diperintah. Dalam memperkukuh nilai kesetiaan ini, pemerintah mestilah sentiasa mempamerkan kesetiaan kepada yang dipimpin agar mereka sentiasa terbela.

“Kepatuhan yang dipimpin kepada pemerintah pula mestilah tidak boleh dipertikaikan kerana profesion ini memerlukan Tentera Darat melaksanakan tugasnya secara mutlak atau tanpa ragu-ragu,” katanya ketika berucap dalam Istiadat Perbarisan Perintah Ulung Pang­lima Tentera Darat ke-26 baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lefte­nan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaki Mokhtar.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan slogan Tentera Darat Satu, Kerana Bersatu sebagai slogan baharu bagi Angkatan Tentera Darat.

Selain kesetiaan, Zulkiple turut menerapkan empat lagi panduan yang perlu diikuti oleh anggotanya untuk kekal teguh dan mapan, iaitu Perkasakan Kesiagaan Angkatan, Peneguhan Profesionalisme, Pemantapan Pengurusan Organisasi dan Peningkatan Kualiti Hidup.

“Marilah sama-sama kita kuatkan azam dan bulatkan tekad untuk menyemai semangat kesepaduan yang tinggi dalam kalangan warga Tentera Darat. Bertitik tolak daripada kukuhnya barisan kesatuan, ayuh kita berdiri dengan teguh dan mengorak langkah sederap demi kedaulatan bumi bertuah ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Tentera Darat Malaysia akan menambah baik manual Malaysian Army Standard sedia ada bagi memantapkan sistem dan prosedur pengurusannya supaya dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.

Kata beliau, enam aspek akan diketengahkan dalam Malaysian Army Standard berkaitan perkhidmatan kawalan kehormatan utama, pengurusan kenderaan, pengurusan logistik dan pengurusan dokumentasi pemberhentian anggota.

“Malaysian Army Standard akan digunakan sebagai garis panduan pengurusan Tentera Darat dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ia dijangka dilancarkan pada Mac ini,” katanya.