Pegawai Tabik Hormat dalam perbarisan itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaki Mokhtar.

Perbarisan itu melibatkan seramai 158 pegawai dan 3,629 anggota lain-lain pangkat (LLP) terdiri daripada 18 ditasmen dari semua kor Tentera Darat termasuk Pasukan Elit Rejimen Gerak Khas dan 10 Briged Para.

Perbarisan itu telah diketuai Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dengan dibantu oleh Panglima 10 Briged Para, Brigadier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Perbarisan itu diiringi Pancaragam Pusat (PP) terdiri daripada PP Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), PP Rejimen Renjer Diraja (RRD), PP Kor Armor Diraja (KAD), Brassband Wanita Tentera Darat dan Brassband Rejimen Kedua Kor Armor Diraja.

Sebanyak tiga buah Helikopter Pemerhati Ringan (LOH), Agusta A109 dan sebuah helikopter Sikorsky S-61A-4, Nuri telah melakukan Terbang Lintas Hormat pada perbarisan itu.

Selain itu, sebanyak sembilan jenis kenderaan dan aset Tentera Darat turut mengambil bahagian dalam perbarisan itu antaranya, sebuah kereta kebal utama (MBT) PT-91M, Pendekar; sebuah kereta kebal ringan, Scorpion; sebuah Kenderaan Tempur Infantri Malaysia (MIFV); sebuah kenderaan tempur infantri AV8, Gempita; sebuah kereta perisai ACV-300, Adnan; dan sebuah kereta perisai bermobiliti tinggi (HMAV) 4x4, Lipan Bara.

Turut dipamerkan ialah selaras senjata M134D-H Gattling Gun 7.62mm; satu unit Sistem Pelancar Roket Berganda (MLRS), Avibras Astross II; satu unit meriam 105mm PHLS dan satu unit meriam 155mm G5.

Sempena perbarisan tersebut, Zulkiple turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia kepada 10 penerima dan Sijil Kepujian Ketua Perkhidmatan kepada 12 penerima.

Beliau juga menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera 2016 kepada johan pertandingan itu iaitu Rejimen 21 Grup Gerakhas (GGK) yang menerima RM5,000; Naib Johan, Formasi 2 Briged (RM3,000); dan tempat ketiga, Formasi Pemerintahan Latihan Dan Doktrin Tentera Darat (RM1,000).

Pada hari itu juga, Tentera Darat telah melancarkan Malaysian Army Standard (MASt) atau Manual Kualiti Standard Tentera Darat yang merupakan manual julung kalinya diperkenal dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

MASt merupakan manual kualiti yang dibangunkan bagi membolehkan keberkesanan dan kecekapan sistem serta prosedur sedia ada dalam Tentera Darat dapat diseragamkan bagi mengukur keupayaan pengurusan pasukan.

Ia merupakan proses penambahbaikan dan penyeragaman kepada prosedur pengurusan sedia ada.

MASt dilancarkan pada 1 Jun 2016 oleh bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurut Zulkiple, sebanyak 18 siri MASt telah dibangunkan berbanding tiga siri semasa mula diperkenal pada Jun tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak tiga siri standard telah diiktiraf dan diguna pakai oleh semua pasukan dalam Tentera Darat manakala 15 siri sedang menjalani proses ujian dan penilaian dalaman.

Jelasnya, ia akan melalui proses penilaian akhir untuk mendapatkan pengiktirafan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebelum diluluskan sebagai manual rasmi Tentera Darat.

"Kami percaya kesemua 18 MASt ini mampu meningkatkan budaya kualiti Tentera Darat ke arah kecemerlangan," ujarnya.

Zulkiple memberitahu, pelaksanaan dan pemantauan MASt dilakukan oleh Inspektor Jeneral Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar yang melakukan lawatan dan audit untuk melihat sejauh mana pematuhan terhadap standard berkenaan.