Bagi Kamarudin Hashim, 68, atau Kenny yang sudah menyertai kira-kira 20 operasi sepanjang bersama Pasukan F, semua rintangan dan halangan perlu ditempuhi tanpa perasaan gentar biarpun ‘nyawa bagaikan di hujung tanduk’.

“Saya hampir hilang nyawa ketika bertempur dengan pengganas komunis akibat terkena tembakan semasa menyertai operasi di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom) menentang Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) di Hutan Paradom, Sibu, Sarawak pada 9 September 1972.

“Kebetulan hari itu adalah hari lahir saya. Syukur umur saya masih panjang dan hanya terkena serpihan peluru pada paha kiri,” katanya kepada Mega Wira baru-baru ini.

Menurut Kamarudin, perasaan takut tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Mana tidaknya, beliau memang sudah diterapkan dengan sifat berani sejak kecil lagi.

“Saya dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur tetapi selepas merdeka bapa saya berhenti kerja dan pulang ke kampung asal di Kampung Minyak Beku, Batu Pahat, Johor. Rumah kami terletak betul-betul di belakang tanah perkuburan dan tiada jalan lain untuk masuk ke rumah melainkan perlu memasuki kawasan kubur.

“Mahu tidak mahu terpaksa juga saya hadapi, jadi saya sudah biasa. Begitu juga dengan hidup ini, walau sesukar mana pun dugaan dan halangan kita harus tempuhinya,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Kamarudin memberitahu, selain melaksanakan operasi di hutan, Pasukan F turut terlibat melumpuhkan anggota gerakan bawah tanah pengganas komunis termasuk di Kulai, Johor.

“Saya telah menangkap ketua komunis dikenali sebagai State Committee Member (SCM) Seng Kang yang menguasai Johor, Singapura, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor bersama isterinya di sebuah ladang sayur. Mujur ketika itu pistolnya tersekat, kalau tidak sudah tentu nyawa saya melayang.

“Saya juga pernah menembak mati seorang anggota skuad pembunuh daripada gerakan bawah tanah pengganas komunis pada penghujung tahun 1979 di Batu Pahat dalam satu operasi.

“Pada keesokan harinya saya ke istana Perak di Kuala Kangsar untuk menerima Pingat Keberanian Handal atas kejayaan membunuh dua pengganas komunis di Tanjung Malim, Perak,” ujarnya.

Tambah Kamarudin, sebagai ketua di lapangan dalam kebanyakan operasi, beliau perlu bijak membahagikan masa kerana masih terikat dengan kerja-kerja terdahulu sebagai pegawai penyiasat sebelum menyertai Cawangan Khas.

“Semasa saya masuk Pasukan F, saya masih ada lebih 400 kertas siasatan untuk diselesaikan. Pernah sekali saya terlibat Operasi Jinseng pada tahun 1977, selepas bunuh tiga komunis, saya terus tukar pakaian dan bergegas ke mahkamah untuk perbicaraan kes yang saya kendalikan.

“Disebabkan terlalu sibuk, kadangkala saya terlepas sapina sehingga keluar waran tangkap sebab gagal hadirkan diri. Dalam masa sama, saya tidak boleh memberitahu mahkamah operasi yang saya jalankan memandangkan semua 
pergerakan Pasukan F adalah rahsia,” jelasnya.

Kamarudin memberitahu, ketika di hutan Pasukan F tidak dibekalkan dengan makanan dalam pek seperti tentera, mereka biasanya akan membawa barang paling minimum untuk memudahkan pergerakan dan bersedia dalam apa jua keadaan.

“Kami biasanya masak nasi yang boleh disimpan sehingga tiga atau empat hari dan memasak sambal ikan bilis. Saya masih ingat ketika menghendap pengganas komunis di kawasan Cheroh, Benta, Pahang, saya tertelan lintah yang masuk ke dalam botol minuman. Azabnya tuhan saja yang tahu.

“Saya terpaksa menelan minyak masak supaya lintah itu keluar dari badan. Saya terlalu dahaga sehingga tidak perasan ada 
lintah di dalamnya,” katanya.

n Nama penuh: 
Kamarudin Hashim

n Tarikh lahir: 
9 September 1949

n Asal:

Batu Pahat, Johor

n Isteri:

Jamaliah Jamaludin (meninggal dunia pada 2015 akibat kanser)

n Anak-anak:

– Nurul Shariah

Kamarudin, 40 (arkitek)

– Shahrir Kamarudin,

37 (kapten kapal

perdagangan)

– Shafiz Kamarudin,

34 (jurutera)

– Syahidah Kamarudin,

29 (pegawai teknologi

makanan)

– Cucu:

lapan orang pada 
 Jun 2017

Kerjaya:

n 1967 - 1968:

menjalani latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

n 1969 - 1970:

Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ipoh, Perak

n 1970 - 1975:

menyertai Pasukan

Polis Hutan

n 1975 - 1976:

Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Sentul

n 1976 - 1992:

Pasukan F, Cawangan Khas, Bukit Aman

Jawatan:

n 1969-1980: Inspektor

n 1980-1986: Asisten Superintenden

n 1986-1992: Deputi Superintenden

n 1991: Pernah menjadi pemangku Superintenden

n 1992 - 1994: Pengurus Bahagian Risiko, Citibank

n 1994 - 1995: Ketua Pengarah Keselamatan, Technology Resources Industries Berhad (TRI)

n 1996 - 1998: Pengurus Kanan Intria Berhad

n 1998 - sekarang: Kontraktor binaan Jasa Muafakat Sdn. Bhd.

Operasi Jinseng - bunuh dua pengganas komunis

Operasi Kelong - bunuh tiga anggota gerakan bawah tanah komunis.

Operasi Tapah - bunuh seorang pengganas dan menangkap hidup Komander Tentera Unit Penggempur Ke-5.

Operasi Khas Batu Pahat - bunuh seorang Ketua Skuad Pembunuh Malayan People Liberation League (MPLL).

Operasi Ular - menembak mati seorang pengganas komunis di Hulu Selangor, Selangor.

Operasi Juggler - bunuh seorang anggota gerakan bawah tanah dan menangkap ketuanya, SCM Seng Kang dan isterinya.

Melakukan tangkapan ke atas lebih 20 orang pengganas komunis dalam pelbagai operasi sepanjang berkhidmat dengan Pasukan F.

Turut menembak mati lima penjenayah bersenjata sepanjang membantu tugas Cawangan Jenayah Berat.

1

2

3

4

6

5

7

mega utusan malaysia