Buat julung kalinya, latihan ketenteraan yang dilaksanakan sejak 1996 itu memberikan fokus kepada operasi dalam hutan selain penekanan bantuan kemanusiaan dalam senario banjir.

Latihan padang melibatkan operasi dalam hutan berkenaan melibatkan kawasan Hutan Simpan Kemasul bermula 11 sehingga 17 Ogos ini.

Panglima 4 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Md. Din Abu berkata, eksesais bilateral antara TDM dan Usarpac kali ini melibatkan 835 pegawai dan anggota termasuk 456 keanggotaan TDM dan 379 Usarpac.

“Objektif utama pelaksa­naan latihan bersama ini adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pengalaman kepada anggota TDM dan juga Usarpac.

“Pada kali ini, mereka ­(Usarpac) minta kita yang ter­kenal dengan operasi hutan supaya turut memberikan fokus kepada kawasan berkenaan bagi memberikan pendedahan kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Eksesais Keris Strike Siri 21/2017 di Kem Batu 5 Mentakab di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempur­nakan oleh Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan wakil delegasi Usarpac, Kolonel Farin D. Schwartz.

Menurut Md Din, perse­diaan rapi dilakukan dalam me­laksanakan operasi hutan yang mana semua peserta diberikan pendedahan asas terlebih dahulu sebelum operasi hutan dimulakan.

Beliau memberitahu, eksesais tersebut juga akan melibatkan pelbagai aset TDM dan Usarpac seperti helikopter Black Hawk.

Dalam pada itu, Schwartz berkata, eksesais tersebut amat signifikan dalam usaha bertukar-tukar ilmu dan pengalaman antara kedua-dua pasukan iaitu TDM dan Usarpac.

Katanya, kepakaran TDM da­lam operasi hutan diharap dapat memberikan pendedahan baharu kepada Usarpac.