Kepesatan aktiviti perniagaan sekitar kawasan tersebut menjadi bualan masyarakat yang berkunjung ke ibu negara.

Justeru itu, diberi tanggungjawab untuk mengemudi sebuah balai polis yang terletak di dalam pusat bandar di ibu kota bukan satu perkara mudah.

Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi Ketua Balai Chow Kit, Inspektor Zakaria Anas, 36, kerana tugasannya kini berbeza dengan pengalaman yang dilaluinya ketika menjadi pegawai penyiasat empat tahun lalu.

“Jika sebelum ini saya banyak melibatkan diri dalam penyiasatan kes-kes jenayah, namun sejak 2011 semua itu berubah kerana tugas menjadi ketua balai lebih banyak mengajar saya tentang cabaran dalam mengendalikan pengurusan manusia.

“Lebih-lebih lagi, tanggungjawab saya bukan sahaja pada anggota bawah kendalian malah perlu menjaga masyarakat setempat yang rata-ratanya terdiri daripada pelbagai bangsa selain pelancong,” katanya ketika ditemui Mewa Wira baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalamannya yang sudah pun menjangkau enam tahun menjadi ketua balai di situ, ujar anak kelahiran Balingan, Sarawak ini, beliau bersyukur dengan komitmen yang diberikan oleh anggotanya selain kerjasama baik daripada penduduk setempat.

Katanya, atas usaha bersama pasukannya, kawasan Chow Kit yang dikatakan merupakan kawasan hitam dan panas dengan kegiatan jenayah menunjukkan kadar penurunan jenayah yang ketara.

Bagaimanapun, kata Zakaria, jenayah ragut di kawasan terbabit masih membimbangkan namun tetap terkawal dengan adanya pemantauan berterusan dari pasukannya.

Mengimbau kenangannya menerajui Balai Polis Chow Kit, pelbagai perit getir telah dilalui Zakaria dan paling diingati adalah ketika dia bersama pasukannya berjaya memberkas seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Abang Long Chow Kit’ yang terlibat dalam kegiatan samun dan curi kenderaan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada dua tahun lepas ketika beliau serta pasukannya menerima maklumat mendapati lelaki terbabit turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu di sekitar ibu kota.

Ujarnya, risikan yang dijalankan akhirnya membuahkan hasil apabila pihaknya berjaya menarik perhatian suspek yang begitu licik itu.

“Suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki dan tiga wanita ketika mereka menaiki sebuah kenderaan curi di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Hasil kecekapan anggota pasukan ini, suspek akhirnya berjaya dituduh di mahkamah tahun lalu,” cerita bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Kata Zakaria, tujuan beliau menceritakan kenangan menumpaskan kumpulan-kumpulan penjenayah ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya ia diharap dapat memberi pengajaran agar jangan sesekali terlibat dalam jenayah.

Mengulas lebih lanjut, Zakaria Anas memberitahu, sebagai seorang anggota polis, risiko menerima ugutan dan amaran daripada penjenayah adalah asam garam warga dalam pasukan itu.

“Jika tiada hal-hal sedemikian, masakan profesion sebagai anggota polis dianggap mencabar selain berjaya menjamin keselamatan negara berada dalam keadaan selamat.

“Selain itu, anggota penguat kuasa juga tidak dapat lari daripada menerima tawaran atau sogokan daripada individu yang tidak mahu diambil tindakan terhadap mereka.

“Namun apa yang penting, ‘pendinding’ utama bagi menangani gejala ini ialah berpegang kepada ajaran Islam serta sentiasa mengutamakan sikap integriti terhadap pasukan,” tegasnya.