Ketua Pasukan STORM Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Firdaus Khan Anwat Khan memberitahu, anggota STORM bukan sahaja berkemahiran mengendalikan kes melibatkan kebakaran malah amat terlatih dalam menghulurkan bantuan kecemasan ketika tanah runtuh serta runtuhan struktur bangunan tinggi.

Jelasnya, STORM berperanan seperti sebuah pasukan elit komando dalam Angkatan Tentera Malaysia yang mana bidang tugasnya jauh lebih besar daripada skop tugasan biasa sebagai anggota bomba.

“Tanggungjawab pasukan elit ini kini semakin mencabar memandangkan ia tidak lagi sekadar tertumpu kepada kerja memadam kebakaran bahkan juga melibatkan bencana alam yang tidak diduga,” jelasnya.

Menurut Muhammad Firdaus Khan yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia & Proses, Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun anggota pasukan tersebut tidak terlepas daripada tanggungjawab hakiki sebagai anggota bomba biasa dalam menyelamat nyawa dan harta benda serta memadam kebakaran.

“Setiap anggota STORM hanya akan berkumpul sebagai satu pasukan apabila ada panggilan semboyan membabitkan sesuatu kejadian bencana yang memerlukan kecekapan khusus dalam kerja-kerja menyelamat.

“Berdasarkan rekod hanya ada 34 anggota STORM di Kuala Lumpur sahaja dan kira-kira 300 anggota di seluruh negara,” katanya.

Jelas Muhammad Firdaus Khan, beliau turut bertanggungjawab memberikan latihan kebombaan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

“Dalam bidang latihan saya bertanggungjawab menyelaras kursus kepada anggota bawahan sehingga pegawai atasan. Selain mengendali kursus umum saya juga menguruskan kursus khas anggota bomba dan orang awam.

“Kesemua kursus itu dikendalikan berdasarkan modul yang sedia ada atau modul yang direka khusus untuk tujuan tertentu demi menambah baik kecekapan anggota bomba yang ada,” katanya.