Jadi tidak hairanlah selepas misi menghalang kemaraan kali kedua pengganas komunis di Semenanjung Malaysia bermula pada tahun 1971 hingga 1988 dilaksanakan dengan cemerlang, kepakaran Pasukan F terus dimanfaatkan.

Mereka banyak membantu menyelesaikan kes-kes jenayah berat termasuk memburu penjenayah licik dan paling berbahaya pada tahun 90-an bernama P. Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali.

Salah seorang anggota Pasukan F yang terlibat membantu sehingga Kalimuthu yang banyak melakukan pembunuhan berjaya ditumpaskan dan ditembak mati ialah Sub Inspektor S. Sritharan.

Beliau yang merupakan salah seorang pakar penyamaran dalam Pasukan F diserapkan dalam Unit Koordinasi Maklumat Cawangan Khas bagi membantu Jabatan Siasatan Jenayah mengesan penjenayah itu.

Dalam unit tersebut, Sritaharan ditugaskan mengintip perbualan telefon dalam usaha menjejak penjenayah terbabit dan kepakarannya mengecam suara telah membantu PDRM mengesan lokasi Kalimuthu bersembunyi.

“Saya memang telah mengintip perbualan Kalimuthu dan pengikutnya sejak beberapa bulan sehingga satu hari saya terdengar penjenayah itu yang kerap menggunakan nama Raja dan Sam menghubungi seorang pengikutnya.

“Berdasarkan intipan perbualan itu saya mengecam itu adalah suara Kalimuthu dan terus menyalurkan maklumat kepada pegawai atasan Cawangan Khas dan seterusnya Jabatan Siasatan Jenayah sehingga lokasi perbualan itu berjaya dikesan,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Ujar Sritharan, hasil maklumat itu membawa kepada serbuan di lokasi persembunyian Kalimuthu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993 di mana penjenayah itu ditembak mati oleh Unit Tindakan Khas dengan dibantu oleh beberapa anggota Pasukan F.

Menceritakan mengenai pengalaman tugasnya dalam Pasukan F, Sritharan, 59, yang kini bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak memberitahu, sebaik sahaja menyertai pasukan elit itu, beliau telah dilatih untuk melakukan tugas penyamaran.

Menurutnya, antara operasi yang paling mencabar ialah Op Kelisa di mana beliau ditugaskan menyamar sebagai penoreh getah selama 11 bulan di Ladang Kepong Meh, Mentakab, Pahang pada Jun 1985.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak yang ketika itu baharu berusia 22 tahun memberitahu, sepanjang penyamarannya, beliau perlu mencari maklumat mengenai Ketua Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) Ke-15 Parti Komunis Malaya, District Committee Member (DCM) Wong Chew Nam atau Ah Poh Suk dan pengikutnya yang dikatakan sering datang ke situ untuk mendapatkan bekalan makanan.

Katanya, Ah Poh Suk serta pengikut-pengikutnya amat dikehendaki kerana bergerak aktif di Pahang Barat bagi menjalankan propaganda dan kerap bertempur dengan pasukan keselamatan, memeras ugut tauke balak di sekitar Pahang selain memaksa pekerja estet membeli bekalan makanan untuk mereka.

“Di sana saya tinggal dengan mandur ladang dan keluarganya. Saya perlu berhati-hati agar identiti tidak terbongkar kerana saya sendiri beberapa kali berurusan dengan Ah Poh Suk termasuk membantu membelikan bekalan makanan bagi mendapatkan kepercayaannya dan dalam masa yang sama melaporkan setiap pergerakan pengganas komunis itu kepada ibu pejabat.

“Ketika itu tiada telefon bimbit dan saya terpaksa pergi ke pekan mencari pondok telefon untuk menyampaikan maklumat kepada ketua dan dalam masa yang sama perlu berhati-hati kerana jika salah langkah nyawa saya akan melayang,” ceritanya yang menggunakan nama Ragavan sepanjang menyamar di Ladang Kepong Meh.

Tambah Sritharan, pengorbanannya menyamar sebagai penoreh getah berbaloi apabila Ah Poh Suk dan tiga pengikutnya akhirnya ditewaskan lapan anggota Pasukan F yang dihantar ibu pejabat pada 10 Mei 1986.

“Anggota Pasukan F yang menewaskan Ah Poh Suk ketika itu harus dipuji kerana bertindak pantas membunuh pengganas komunis itu dan tiga pengikutnya, jika terlambat mungkin kami semua telah mati dibom,” katanya.

Selain kejayaan Op Kelisa, satu lagi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan Sritharan ialah dia turut bertemu jodoh dengan isterinya, Minahchi di ladang tersebut.

“Minahchi adalah anak mandur ladang dan kami berkahwin selepas lebih setahun peristiwa di Ladang Kepong Meh berlalu. Kini hidup kami bahagia dan dua cahaya mata kami telah pun dewasa,” katanya sambil tersenyum.

Jelas Sritharan yang amat berbangga dapat berkhidmat dengan PDRM, beliau akan merindui saat-saat bertugas terutama ketika bersama Pasukan F apabila bersara wajib pada 3 Mac tahun depan.

“Saya ingin mengucapkan terima kepada semua rakan setugas dan pegawai atasan yang pernah berkhidmat dan memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” katanya yang pernah terlibat dalam pelbagai lagi operasi menarik sepanjang dalam Pasukan F antaranya Op Taloong.