Mereka dalam perjalanan menuju ke pangkalan Pasukan F di pekan Rawang, Selangor dari hutan Sungai Meranti, Kuala Kubu Bharu.

Tangannya memegang kemas senapang M16 bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya bertembung dengan kumpulan pengganas komunis.

Ini kerana Abdul Kalam dan tiga lagi anggota Pasukan F iaitu Sarjan Ibrahim Che Mat, Konstabel Rusli Edrus dan Konstabel Ridzuan Busu baru selesai melakukan serang hendap di Sungai Meranti.

Dalam serang hendap pada 18 Disember 1984 itu, empat pengganas komunis daripada Pasukan Kerja Bersenjata Ke-21 termasuk pemimpin kanan mereka, District Committee Member Pang Wu berjaya dibunuh selepas terkena letupan ‘claymore mine’ yang dipasang Abdul Kalam dan pasukannya.

Semasa dalam perjalanan, ingatannya tiba-tiba melayang pada tahun 1980.

Ketika itu, beliau yang bertugas sebagai pegawai Batalion 9 Pasukan Polis Hutan bersama lima anggotanya sedang berbalas tembakan dengan pengganas komunis sehingga salah seorang daripada mereka, Koperal Jamil (bukan nama sebenar) terkena tembakan di bahagian dada.

Suara Jamil yang menyuruh memicit kakinya selepas dia rebah dengan dadanya berlumuran darah masih terngiang-ngiang pada telinga Abdul Kalam.

“Kuatlah sikit tak rasa langsung,” marah Jamil membuatkan jantung Abdul Kalam berdegup kencang kerana ternyata anggotanya itu cedera parah kerana tidak merasa picitannya.

Dalam nada lemah Jamil meminta Abdul Kalam mengambil surat berlipat di poket seluarnya.

“Pesan pada isteri saya jaga anak kami baik-baik,” suara Jamil tersekat-sekat sambil meminta Abdul Kalam membuka surat tersebut.

Rupanya surat tersebut mengandungi nombor akaun beberapa bank yang ditulis dengan pen merah menandakan anggotanya itu telah membuat persiapan sekiranya sesuatu berlaku ke atas dirinya.

Abdul Kalam terus memangku kepala Jamil sambil mengajarnya mengucap dua kalimah syahadat dengan air mata bergenang.

Selepas mengucap, lelaki itu menggenggam tangan Abdul Kalam dan dalam kesakitan yang amat sangat dia sempat tersenyum.

“Steady brother,” ucap Jamil sebelum menutup matanya perlahan-lahan.

Abdul Kalam tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

Dia mengarahkan anggota lain memaklumkan kematian Jamil kepada pejabat Batalion 9 sebelum membawa jenazah arwah pulang ke rumahnya yang terletak di dalam kawasan kem.

Ketika tiba di rumah Jamil, anak lelakinya yang masih tidak mengerti apa-apa menyambut mereka dengan wajah riang kerana menyangka ayahnya akan pulang.

Kanak-kanak itu menjerit memanggil ibunya sambil matanya tercari-cari bapanya.

Dengan wajah sedih Abdul Kalam mengusap rambut kanak-kanak berusia dua tahun itu.

“Satu hari nanti ‘hutang’ ayah kau saya bayar balik,” janji Abdul Kalam kepada kanak-kanak itu sebelum mengusung masuk jenazah Jamil ke dalam rumah.

Sejak itu beliau berazam untuk memburu komunis dan peluang tersebut diperoleh semasa bertugas dalam Pasukan F yang sememangnya ditubuhkan untuk menghalang kemaraan semula kumpulan pengganas itu di Semenanjung Malaysia.

Abdul Kalam tersedar selepas bahunya dipegang Md. Din kerana mereka telah sampai di pangkalan F. Dia segera mengelap air matanya yang menitis.

Beliau puas kerana ‘hutang’ yang dijanjikan kepada anak Jamil telah berbayar dengan tertumpasnya Pang Wu dan tiga pengganas komunis di Sungai Meranti.

Lebih memuaskan hati beliau ialah apabila mengetahui salah seorang pengganas yang mati pada tangannya dan rakan-rakan bertanggungjawab membunuh seorang anggota Platun Muhibbah PPH Batalion 21 pada tahun 1980.

Ini berdasarkan penemuan senjata milik anggota tersebut bersama mayat empat pengganas komunis berkenaan.