MUAR 11 Mac – Kementerian Pertahanan akan mengumumkan skim perkhidmatan pencen baharu untuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, skim baharu berkenaan merupakan antara usaha kementerian berkenaan menyelesaikan masalah yang dihadapi veteran ATM yang tidak berpencen.
“Tapi kita perlu dapatkan keputusan dan kelulusan kepemimpinan tertinggi khasnya daripada Perdana Menteri terlebih dahulu.
“Kita sudahpun panjangkan perkara ini kepada Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dan keceriaan di wajah beliau membayangkan seperti bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jasamu Dikenang selepas menyampaikan pingat Jasa Malaysia kepada pesara tentera, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar.
Pada majlis itu, seramai 114 veteran tentera yang berkhidmat ketika penentangan terhadap komunis yang berakhir pada 1989 diberi penganugerahan sebagai tanda ingatan bagi mengenang pengorbanan dan khidmat bakti cemerlang mereka.
Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Kelompok Cawangan-Cawangan UMNO Muar di sini hari ini, Hishammuddin berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dilihat akan memberi lebih keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri dan parti.
Menurut beliau, siasatan itu juga akan menjurus kepada tadbir urus kerajaan negeri yang lebih baik dan berintegriti seperti dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Walau bagaimanapun menurutnya, semua pihak diminta tidak membuat hukuman yang terlalu awal dalam kes itu kerana siasatan masih dijalankan dan mungkin terdapat perkara-perkara yang belum diketahui jawapannya.
“Saya dalam hal ini sedih juga kerana melibatkan sahabat sendiri yang sudah kenal lama tetapi saya konsisten tiada siapa boleh meletakkan dirinya melebihi undang-undang negara.
“Saya sahut saranan Sultan Ibrahim dan Menteri Besar sendiri yang menyatakan siasatan itu membantu untuk tambah baik tadbir urus kerajaan negeri Johor,” katanya.