Dengan panjangnya kira-kira 140 meter dan lebar 39 meter, kapal USS Coronado yang mampu melaksanakan pelbagai misi dengan kelengkapan dan kemampuan yang ada, buat pertama kalinya berlabuh di negara ini.

Perolehan kapal kelas Independence yang ditauliahkan pada 5 April 2014 masih dikira baharu dalam segala operasi dan misi yang dilaksanakan.

Dibina oleh syarikat kapal Austal USA, salah satu daripada empat kapal kelas yang sama ini mempunyai sistem senjata canggih untuk bertindak terhadap kapal musuh atau mempertahan diri daripada serangan.

Dengan keluasan hangar dan dek, kapal ini juga boleh menyimpan dua pesawat tanpa pemandu (UAV) dan juga dua buah helikopter dalam satu-satu masa.

Menurut Komander Kapal USS Coronado, Komander Scott Larson, selain dilengkapi pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu, kapal itu mampu bergerak sehingga mencecah 40 knot.

“Kelajuan adalah salah satu senjata kami yang sudah semestinya akan menjadikan ia sukar untuk sasaran peluru berpandu. Selain itu, dengan keluasan hangar dan dek, kapal ini juga boleh menyimpan dua pesawat tanpa pemandu dan juga dua buah helikopter dalam satu-satu masa.

“Selain itu, kapal ini tidak memerlukan krew terlalu ramai kerana keseluruhan sistem menggunakan elektronik. Jadi apa yang penting adalah tahap kemahiran yang sentiasa perlu dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Lawatan Khas Media ke Kapal USS Coronado.

Kapal jenis Littoral Combat Ship (LCS) atau dikenali sebagai kapal tempur pesisir itu berlabuh selama sehari setelah memulakan pelayaran dari San Diego, Amerika Syarikat (AS) sejak Jun tahun lalu dan akan kembali semula ke pengkalannya pada November ini.

Jelas Larson lagi, kapal itu juga mampu mengisi minyak tanpa perlu berlabuh di mana-mana negara atau pelabuhan untuk mengurangkan masa perjalanan ke destinasi.

“Kami membuktikannya sewaktu belayar dari Hawaii terus ke Singapura tanpa henti dan mengisi minyak beberapa kali sewaktu di tengah lautan walaupun tahu ia berisiko tinggi.

“Ia jelas dengan cara kami yang cuba sedaya upaya untuk menjimatkan kos terutama dari segi minyak kerana semakin laju ia bergerak semakin banyak minyak yang diperlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Larson berkata, kunjungan pertama kali kapal itu memberi peluang kepada semua krew untuk melihat dan menikmati keindahan yang ada di Langkawi.