Sebagai komandan yang ke-44 sejak pusat latihan tersebut dibuka pada tahun 1940, beliau perlu memastikan ada kesinambungan daripada pucuk pimpinan yang terdahulu.

Sempena hari ke-100 penugasannya pada 18 April lalu, beliau berkongsi tiga elemen terpenting yang menjadi fokus utama untuk mencapai misi tersebut.

“Tiga elemen itu menyentuh keseluruhan aspek dari segi latihan serta jurulatih, tadbir urus serta kewangan, dan persekitaran premis Pulapol itu sendiri.

“Saya percaya dengan penumpuan kepada tiga teras ini, Pulapol Kuala Lumpur bukan sahaja dapat terus melahirkan pegawai yang berkualiti malah akan menjadi ikutan pusat latihan yang lain,” katanya 
ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut Shamsudin memberitahu, institusi itu akan memperkasa latihan dijalani pelatih dengan menyemak semula silibus serta modul sedia ada.

Ujarnya, sekiranya terdapat kelompangan dalam modul berkenaan atau didapati sudah tidak relevan dengan peredaran zaman ia akan diubah suai mengikut keperluan.

“Kita perlu memastikan produk yang lahir dari pusat latihan ini berada tiga langkah ke hadapan daripada penjenayah dengan menggunakan teknologi kepolisan moden.

“Untuk mendapatkan produk sebegini yang melatihnya juga perlu berkualiti, jadi kita kena latih mereka melalui kursus, kem motivasi, ceramah serta latihan dalam perkhidmatan,” jelasnya.

Selain itu, Shamsudin juga akan memperkasa tadbir urus sedia ada berikutan tidak mahu alpa dengan keselesaan sekarang sehingga mengabaikan perkara tertentu seperti laporan berjadual dan sebagainya.

“Saya juga akan memastikan bahagian kewangan yang menguruskan dana kelab polis, tabung masjid, tabung amanah serta semua yang berkaitan dengan wang akan melalui 
proses peraturan kewangan yang ketat, ini bagi mengelak salah laku yang mampu mencalarkan imej PDRM.

“Dan yang terakhir yang akan diambil perhatian adalah keceriaan persekitaran dan pejabat yang perlu seiring dengan status Pulapol ini sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Saya akan pastikan seni taman di sini juga bertaraf dunia, tak lengkap sekiranya bangunan yang hebat seperti ini tidak disusuli dengan landskap yang sama tarafnya,” ujarnya.

Shamsudin sebelum mengakhiri sesi temu ramah itu turut menyatakan harapannya sebagai peneraju baharu adalah agar diberikan kepercayaan serta mendapat kerjasama daripada warga Pulapol Kuala Lumpur supaya kesemua misi tersebut dapat direalisasikan.