Ini kerana Pasukan F ditubuhkan khas untuk menghalang kemaraan semula komunis di Semenanjung dan semua misi yang dijalankan sama ada untuk menjejak, menawan hidup-hidup atau menghapuskan petualang negara itu pastinya berhadapan dengan bahaya dan mengancam nyawa.

Semua itu perlu diharungi Timbalan Ketua Cawangan Khas II Pahang, Asisten Komisioner Borhan Daud, 59, setiap kali menyertai operasi sulit semasa bertugas dalam Pasukan F.

Antara operasi berbahaya yang disertai beliau ialah Operasi Kelisa di Ladang Kepong Meh, Mentakab, Pahang pada 10 Mei 1986 bersama Inspektor Razak Karim, Inspektor Zahaliman Jamin, Koperal Detektif Hussain Saion, Koperal Detektif Yusof Omar, Koperal Detektif Riboet Dekin, Lans Koperal Detektif Hussin Taib dan Konstabel Detektif Mazaruddin Hamzah.

Ketika itu mereka diarah untuk menawan empat pengganas komunis dari Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) Ke-15 Parti Komunis Malaya (PKM) diketuai District Committee Member (DCM) Wong Chew Nam atau Ah Poh Suk di sebuah rumah estet di Ladang Kepong Meh yang didiami sembilan sekeluarga.

Menurut Borhan, mereka dibantu oleh seorang anggota Pasukan F yang menyamar sebagai pekerja di ladang tersebut selama 11 bulan iaitu Konstabel Detektif S. Sritharan.

Ujarnya, Ah Poh Suk memang sering berkunjung ke rumah estet tersebut untuk mendapatkan bekalan makanan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh Sritharan, pengganas komunis itu akan datang pada 10 Mei 1986.

Beliau memberitahu, selepas mengharungi perjalanan lapan jam tanpa henti, semua anggota Pasukan F yang tiba di rumah estet tersebut bersembunyi di bilik baja bagi menunggu kehadiran Ah Poh Suk untuk menawannya.

Ujarnya, ketua pengganas komunis itu serta tiga anggotanya termasuk dua wanita yang salah seorang adalah isterinya akhirnya tiba pada pukul 9 malam.

“Ketika Ah Poh Suk dan seorang pengganas lelaki duduk di ruang tamu sambil berbual dengan pemilik rumah manakala isterinya serta seorang anggota wanita pergi ke dapur untuk memasak, kami keluar dari bilik baja untuk menawan mereka.

“Bagaimanapun Ah Poh Suk melawan dan cuba meletupkan bom tangan yang dibawanya sehingga kami terpaksa menembak mati pengganas itu dan semua anggotanya yang mahu bertindak balas. Mujur kami cepat bertindak jika tidak satu rumah akan meletup dan nyawa kami pasti melayang,” ceritanya.

Borhan berkata, satu lagi operasi yang disertai ialah Operasi Taloong di mana beliau terlibat semasa memberkas Ketua Unit Penggempur ke-6 Parti PKM, Chong Chor yang sangat dikehendaki pasukan keselamatan.

Jelas beliau, apa yang membanggakan, Chong Chor ditahan tanpa melibatkan pertumpahan darah bersama dua pengikutnya yang bersenjata api di hadapan pusat beli belah Globe Silk Store, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi.

Kata beliau, dengan menggunakan maklumat yang didedahkan oleh Chong Chor, Operasi Taloong berjaya memberkas 85 pengikut pengganas itu yang bergerak secara senyap di bandar-bandar iaitu Kuala Lumpur; Selangor serta Jalan Lama Bentong, Pahang dalam tempoh empat bulan iaitu Mac sehingga Jun 1988.

“Kesemua tangkapan dilakukan secara sulit dan dirancang dengan teliti tanpa melibatkan sebutir peluru pun. Melalui tangkapan itu, beratus-ratus rampasan melibatkan senjata api, bom, kelengkapan serta alat perhubungan dilakukan selain pemusnahan gudang simpanan makanan dan kem-kem komunis.

“Kejayaan ini juga berjaya menghapuskan anasir komunis di dalam negara seterusnya membawa kepada pemeteraian Perjanjian Haadyai,” katanya yang pernah bertugas sebagai pegawai latihan Unit Operasi Bandar Pasukan F sejak tahun 1985 hingga 1990 dan ahli panel penilai pembelian senjata api dan peralatan PDRM (1985-1994).

Tambah Borhan, walaupun terlibat dalam operasi serta insiden yang mengancam nyawanya sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau masih menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sehingga kini.

“Saya juga amat berterima kasih kerana dianugerahkan Surat Penghargaan Ketua Polis Negara dan Pingat Gagah Berani pada tahun 1989 atas kejayaan dalam Operasi Taloong,” katanya.