Semuanya mempunyai maksud dan sebab tersendiri. Jika tersilap langkah, pasti 
ada ‘habuan’ yang menanti. Setiap arahan adalah daripada jurulatih dan ia akan dipatuhi melalui hukuman ringkas dan singkat.

Rejimen Sarjan Mejar 
(RSM) Tentera Darat, Pegawai Waran 1 Hayazi Abdul Aziz berkata, pembentukan asas karakter seorang anggota tentera bermula di padang kawad. Disiplin, pengurusan masa dan bertindak mengikut arahan membentuk acuan sebenar melahirkan pahlawan negara.

Ia merupakan asas kepada disiplin mana-mana organisasi lebih-lebih lagi dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebelum mereka pergi ke kursus kemahiran atau latihan lain, setiap rekrut akan diberi penekanan dalam kawad.

“Di sinilah bermulanya asas pembentukan bagi menukar identiti daripada orang awam kepada anggota tentera. Kita nak bentuk mereka menjadi askar yang benar-benar terlatih merangkumi keseluruhan aspek,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Hayazi telah berkhidmat lebih 20 tahun dalam Tentera Darat pernah memegang jawatan lain sepanjang tempoh perkhidmatan antaranya Ketua Penerjunan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Ketua Seksyen di Pusat Latihan Tempur 
Tentera Darat (Pulada) dan Jurulatih Asas Tempur Tanpa Senjata (TTS) di 9 Rejimen Askar Melayu Diraja 
(9 RAMD) Para.

Sementara itu, jelas Hayazi lagi, kawad 
juga merupakan platform kepada pegawai dan anggota tentera untuk melihat aspek lain yang menjadi tunjang kepada kekuatan ATM sebagai barisan hadapan pertahanan negara.

“Sewaktu dalam perbarisan, RSM akan memastikan anggota mematuhi setiap 
inci pergerakan, pakaian dan juga keterampilan diri berdasarkan standard yang telah ditetapkan.

“Ia bukan hanya sekadar melibatkan disiplin pergerakan semata-mata, tetapi meliputi keseluruhan yang ada pada anggota tentera itu.

“Selain itu, kawad bukanlah hanya sekadar melibatkan upacara atau majlis rasmi sahaja, malah menjadi sinonim kepada tentera dalam kehidupan seharian mereka lebih-lebih lagi sewaktu di pusat latihan.

“Dengan kawad jugalah kita akan memberi arahan untuk melaksanakan operasi dan juga aktiviti lain supaya segalanya dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujarnya.

Katanya lagi, RSM juga turut berperanan untuk memastikan tahap dan piawaian kawad warga ATM berada di tahap yang tinggi-lebih-lebih lagi kawad dapat membentuk karakter, aspek disiplin, kepimpinan dan taat setia sejak mereka mula berkhidmat lagi.

Sejarah kawad 

Sejarah awal kawad sebenarnya telah bermula sejak zaman Empayar Rom bagi menggerakkan ketumbukan dan anggota tentera ketika zaman itu. Fungsi kawad itu sendiri adalah bagi mengelakkan anggota pasukan itu terpisah apabila terdapat beberapa pasukan di satu-satu tempat.

Kawad juga boleh diterjemah sebagai asas kepada disiplin pertempuran. Berdasarkan pendapat salah seorang penyair dan antropologis dari England, Robert Graves, terdapat tiga kategori tentera dalam satu-satu ketumbukan angkatan tentera.

Yang pertama anggota tentera yang berani tetapi kurang mahir berkawad. Golongan kedua pula terdiri daripada yang mahir berkawad tetapi kurang berani dan yang ketiga yang berani serta pandai berkawad.

Golongan ketiga merupakan paling menonjol dalam pertempuran dan kerana itu kawad dilihat mampu membina sebuah angkatan perang yang unggul.

Selain itu, segala simbol dan pergerakan dalam berkawad ini telah dibawa daripada medan perang ke padang kawad hari ini. Setiap pergerakan dalam perbarisan mempunyai maksud yang tersendiri dan mengikut formasi dalam perang.

Kawad juga bukan hanya ditunjuk dalam perbarisan, tetapi ia turut menjadi rutin harian setiap warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kawad akan dilaksanakan setiap masa seupaya pembentukan keyakinan diri, disiplin, kerjasama, ketahanan dan sikap taat setia berterusan.

Latihan kawad juga secara tidak langsung merupakan satu platform mempertingkat moral anggota tentera dan mengekalkan sifat ‘espirit de corps’ serta mengekalkan tradisi perbarisan ketenteraan yang berprestij.

Tiada hentak kaki

Dalam pada itu, bagi RSM Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pegawai Waran 1 Teknisyen Marin Kuasa Gerak (TMK), Muhamad Eizad Ramli, kawad TLDM sedikit berbeza dengan perkhidmatan lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita tidak menghentak kaki seperti yang dilakukan oleh anggota Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Hal ini disebabkan penugasan kami yang sentiasa berada di atas kapal dan demi menjaga keadaan kapal tersebut.

“Walau bagaimanpun, jika kami diminta untuk berkawad mewakili ketiga-tiga perkhidmatan, beberapa silibus seperti pergerakan hentak kaki akan diselaraskan,” ujarnya.

Tambah Muhamad Eizad, RSM juga perlu memiliki beberapa personaliti dan karakter supaya dapat memimpin serta membentuk karakter anggota tentera sehingga mencapai tahap yang ditetapkan.