Dengan mata yang masih berpinar, Konstabel Rusli Edros memandang kesan lubang sebesar satu meter yang betul-betul bersebelahan tempat dia berdiri.

Kalau Konstabel Zakaria Md. Noor tidak menarik lehernya tadi, sudah tentu tubuhnya akan berkecai akibat terkena balingan bom tangan pengganas komunis yang sedang dijejak mereka.

Pada hari tersebut, mereka ditugaskan menawan anggota komunis dari Unit Penggempur Ke-6 itu yang gagal menyeberang sungai malam tadi.

Ketika dalam perjalanan, mereka ternampak kasut milik dua komunis yang berjaya diberkas dan tidak berapa jauh dari situ, kelihatan lelaki yang sedang dijejak duduk berehat.

“Rakan saya, Zakaria cuba untuk menembak namun komunis itu pantas menyasarkan senjata ke arahnya. Tiba-tiba saya teringatkan pesanan Asisten Superintenden Sonny Tait, kalau Zakaria terkorban pasti saya menyesal.

“Jadi saya yang berada berhampiran menembak dahulu musuh dan terkena bahagian dagu tetapi dia tidak mati. Semasa cuba melarikan diri komunis itu mencampakkan bom tangan pada kami yang berdiri hanya beberapa meter daripadanya,” katanya kepada Mega Wira di sini baru-baru ini.

Berang dengan tindakan musuh, mereka dan empat lagi anggota Pasukan F terus mengejar pengganas komunis tersebut kerana masing-masing mahu segera menyelesaikan operasi memandangkan esok hari raya.

“Akhirnya Zakaria dapat menembak komunis itu pada pangkal telinganya dan dia mati serta-merta.

“Sampai bila-bila saya tidak akan lupa peristiwa itu. Saya dan Zakaria saling menyelamatkan nyawa masing-masing kerana begitulah semangat setia kawan yang diterapkan dalam Pasukan F,” ujar bapa kepada sembilan cahaya mata itu.

Jelasnya, setiap anggota ‘frontliner’ atau barisan hadapan berdepan risiko kehilangan nyawa ketika bertempur kerana mereka inilah orang pertama yang akan berdepan dengan musuh.

Tetapi menurut Rusli, itu tidak menjadi penghalang kepada beliau kerana penglibatannya dalam polis didorong oleh semangat ingin membela nasib moyangnya yang pernah dibakar dan digantung oleh komunis suatu ketika dahulu.

Dalam pada itu, menceritakan pengalaman pahit sebelum memasuki Pasukan F, Rusli memberitahu, pada waktu itu beliau berkhidmat dengan Batalion 2, Pasukan Polis Hutan di Ulu Kinta, Perak.

“Saya lihat sendiri dua orang kawan saya putus kaki akibat terkena jerangkap samar. Tetapi semangat berkobar-kobar untuk menentang musuh tidak pernah padam,” tegasnya.

Tambah anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berkhidmat adalah semasa melaksanakan Operasi Ular di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 1983.

“Kami ditugaskan untuk menyamar sebagai pekerja kontrak yang membuat kerja-kerja pertukangan dan membina rumah. Oleh kerana kehadiran kami dicurigai penduduk kampung, kami hampir dihalau oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Mungkin kerana kampung itu agak kecil dan tidak pernah menerima penduduk asing jadi mereka khuatir kami akan mengancam nyawa mereka. Namun selepas berunding, semuanya berjalan lancar dan Operasi Ular dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.