Seramai 600 hadir, terdiri daripada para anggota dan pegawai yang bertugas di Skuadron Pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bekas atau alumni TUDM dan para jemputan yang lain.

Mereka bertemu untuk satu sambutan ulang tahun Jubli Emas perkhidmatan pesawat Nuri di negara ini yang dianggap sebagai sangat luar biasa kerana begitu lama dan masih ‘terbang’ untuk menempuh pelbagai kisah suka duka di sebalik perkhidmatannya yang penuh jasa di negara ini.

Bak kata, Panglima Tentera Udara, Jene­ral Tan Sri Affendi Buang pada malam itu, tidak ada sebarang pesawat dalam sejarah TUDM yang telah begitu berjasa besar di negara ini, kecuali pesawat Nuri.

“Sejak tahun 1960-an lagi, Nuri terlibat dalam setiap operasi mempertahankan negara daripada serangan anggota komunis, era konfrontasi dan sehingga hari ini pun, Nuri masih terbang dan terbang untuk pelbagai khidmat, menyelamatkan yang lain.

“Sesuai dengan moto kita selama ini “So Others May Live”, Nuri benar-benar penyelamat,” katanya yang turut menggelarkan pesawat Nuri sebagai “The Iron Angel”.

Manakan tidak, sebagaimana manusia hebat yang mencipta pesawat Nuri ini sendiri, Igor Sikorsky berkata, jika manusia perlukan bantuan, pesawat kapal terbang akan datang dan hanya mampu mencampakkan bunga, itu sahaja.

“Tetapi helikopter satu-satunya pesawat yang mampu terbang pada jarak paling dekat dengan manusia tersebut dan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Pada malam itu, syarikat Sikorsky Lockheed Martin dari Amerika Syarikat, pengeluar helikopter Nuri, diwakili kehadiran mereka oleh Timbalan Presiden Asia Sikorsky Aircraft, Christophe Nurit.

“Bertahun-tahun lamanya, di luar ruang udara Amerika Syarikat, perkhidmatan angkatan pesawat S-61 (Nuri) di Malaysia merupakan yang terbesar di dunia.

“Sejak penghantaran pertama pesawat pada 50 tahun lalu, S-61 merupakan sejarah perkhidmatan udara terhebat dalam TUDM dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.