Manakan tidak, hari itu musuh yang perlu ditawan bukannya penjenayah biasa tetapi Ketua Unit Penggempur ke-6 Parti PKM, Chong Chor yang sangat dikehendaki pasukan keselamatan.

Jika tersilap langkah, sudah pasti nyawa bekas Konstabel Detektif itu melayang kerana sepanjang operasi bersama Pasukan F itu, dia tidak dibenarkan membawa senjata api.

“Alhamdulillah, nasib benar-benar menyebelahi saya dan lima lagi rakan Pasukan F. Ini kerana Chong Chor dan orang kanannya, Yeong Nam yang bersenjata api berjaya diberkas tanpa melibatkan pertumpahan darah.

“Segala pergerakan hari itu dirancang dengan teliti kerana arahan yang kami terima adalah menangkap mereka hidup-hidup,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Idros memberitahu, ketika itu tiada langsung rasa takut di dalam hatinya walaupun Chong Chor dan Yeong Nam mungkin boleh bertindak ganas.

“Pada mulanya, kami menerima maklumat Chong Chor dan Yeong Nam telah dilihat di sebuah rumah di Cheras. Mereka menaiki kereta yang dipandu seorang tali barut komunis dan menuju ke sebuah kedai buku di hadapan Globe Silk Store.

“Ketika itu, pemandu mereka telah keluar dari kereta untuk ke kedai buku terbabit dan kesempatan itu diambil saya serta lima rakan untuk menghampiri kereta mereka.

“Chong Chor dan Yeong Nam yang tergamam dengan kehadiran kami tidak sempat berbuat apa-apa dan saya bersama Konstabel Detektif Ahmad Tajudin Ishak serta Norhisham Borhan terus merentap Yeong Nam keluar dari kereta sebelum menggarinya.

“Manakala Chong Chor pula diberkas oleh Inspektor Voon Ken Hong, Sub Inspektor Hussien Saion dan Konstabel Detektif Yunus Nasir. Kedua-dua pengganas komunis itu kemudian dibawa ke pusat tahanan sementara,” cerita anak kelahiran Kedah itu.

Jelas Idros, selepas Chong Chor ditangkap, sebanyak 85 pengikutnya berjaya diberkas menerusi Operasi Taloong.

Turut dirampas katanya, sejumlah besar senjata api, bahan letupan serta alat perhubungan komunis.

Mengimbau kembali kenangan ketika menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), bapa kepada tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan isteri tercinta, Yang Hashimah Mohd Zihan berkata, ketika itu dia hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, beliau memohon jawatan anggota polis pada tahun 1980 dan ditugaskan di kem Batalion 21 Pasukan Polis Hutan (PPH) di Pahang serta menganggotai ‘Tiger Platoon’ sehingga 1986.

Khidmat dan pengalamannya dipanjangkan apabila dia dipilih menyertai Pasukan F pada 1987 sehingga 1991.

Menurut Idros, beliau kemudian ditukarkan ke Seksyen Koordinasi E3M.

Ujarnya, pada tahun 1994, beliau meletakkan jawatan dalam PDRM untuk bertugas di syarikat swasta dan jawatan terakhirnya ialah sebagai pengurus besar di sebuah syarikat utiliti sebelum berhenti pada Mac lalu.

“Namun pengalaman bersama Pasukan F mengajar saya untuk lebih berdikari.

“Bayangkan kami perlu korbankan masa rehat, malah terpaksa meninggalkan keluarga demi negara tercinta,” katanya.