Fasa ini juga merupakan fasa terpenting untuk menukar gaya hidup dan status daripada orang awam kepada anggota Tentera Darat (TD) Malaysia.

Sepanjang tempoh menjalani latihan itu juga, pelbagai ilmu medan perang dan disiplin ketenteraan dipelajari demi menggalas tanggungjawab mempertahan kedaulatan negara.

Sebaik sahaja tempoh tersebut tamat, mereka akan melalui fasa seterusnya dan akan dihantar bertugas mengikut unit serta kor yang telah ditetapkan.

Itulah yang perlu dilalui setiap perajurit muda Tentera Darat termasuk 1,527 anggota yang berjaya menamatkan latihan perajurit muda Siri 181-2/2016 minggu lalu di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Majlis yang penuh bersejarah itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, majlis tersebut merupakan titik bermulanya kerjaya kepada semua anggota yang berjaya menamatkan latihan tersebut.

“Kerjaya ini bukan sekadar kerjaya biasa-biasa, sebaliknya kerjaya yang berpaksikan pengabdian agama, bangsa dan ibu pertiwi. Di sinilah tempatnya kebanyakan perwira negara terdahulu memulakan perjalanan mereka dalam tentera.

“Dan di sinilah juga mereka diasuh menjadi pejuang yang berani dan berjasa termasuk Leftenan Adnan Saidi dan Kanang Anak Langkau.

“Sifat kepahlawanan mereka ini amat perlu dicontohi dan dijadikan inspirasi anak-anak muda termasuk anda sekalian,” katanya.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Selain perbarisan, persembahan pantomin Operasi Gubir II turut diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera termasuklah anggota Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Gubir, Kedah pada 15 Julai 1976 sehingga meragut nyawa ketua platun, Mejar Zainal Abdul Rashid.

Dalam insiden itu, Allahyarham Zainal dengan penuh keberanian dan semangat ke­perwiraan telah memimpin platunnya bertempur dengan 12 orang pengganas komunis.

Pantomin tersebut berjaya menggamit perasaan sedih dan pilu hampir 8,000 hadirin yang hadir dalam majlis itu.

Dalam pada itu, anugerah Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan berjaya disandang oleh Muhammad Amirul Zaki Zawawi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Dia merupakan anak pertama daripada empat orang adik beradik telah menunjukkan kepimpinan yang baik sepanjang tempoh latihan tersebut.

Bagi kategori Perajurit Muda Akademik Terbaik dimenangi oleh Muhamad Hilmi Nazereen Kamaruddin; Perajurit Muda Kecergasan Terbaik, Sebastian Thos a/k Gidion; Perajurit Muda Kawad Terbaik, Mohamad Fidzuan Shah Jazamuddin; dan Perajurit Muda Penembak Terbaik dimenangi oleh Geoffrey a/k Batiem.