Enam pemuda yang menyewa di rumah tersebut sedang tekun meneliti peta bentuk muka bumi di Sungai Meranti yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari lokasi mereka.

Di mata penduduk kampung, kesemua pemuda itu hanyalah buruh yang melakukan pelbagai kerja demi mencari sesuap nasi.

Bagaimanapun itu hanyalah tugas penyamaran kerana mereka adalah anggota Pasukan F yang sedang mengintip pergerakan pemimpin kanan Unit Kerja Bersenjata Ke-21 Parti Komunis Malaya (PKM) dikenali sebagai District Committee Member (DCM) Pang Wu yang telah dijejak sejak tahun 1982 lagi.

Selain sering bertempur dengan pasukan keselamatan, Pang Wu yang bermaharajalela di sekitar Selangor memeras ugut tauke balak untuk mencari dana bagi pihak komunis yang masih berusaha meluaskan pengaruh mereka.

Pengganas komunis itu turut mencari penyokong dalam kalangan kaum India di kawasan estet di Kerling dan Rawang, Selangor serta Slim River, Perak bagi menjadi mata dan telinga mereka selain mendapatkan maklumat pergerakan pasukan keselamatan.

Setelah hampir sebulan kumpulan pemuda itu yang diketuai oleh Cif Inspektor Abdul Kalam Suhaimi menjalankan risikan dengan bantuan seorang pemberi maklumat yang juga pemilik restoran di Jalan Besar Kuala Kubu Bharu, akhirnya mereka mendapat maklumat mengenai Pang Wu.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, Pang Wu akan lalu di Sungai Meranti untuk satu perjumpaan dengan anggota-anggota Unit Kerja Bersenjata Ke-6 di Bukit Fraser, Pahang pada 16 Disember 1984 dan akan pulang lusa (18 Disember) melalui jalan yang sama.

Maklumat yang diperoleh segera dimaklumkan kepada pejabat Pasukan F di Bukit Aman dan pasukan Abdul Kalam diarah untuk menjalankan serang hendap terhadap Pang Wu dan pengikutnya yang dipanggil Operasi Ular.

Berdasarkan penelitian yang dibuat dan maklumat risikan yang diperoleh hanya empat orang yang sesuai untuk pergi ke Sungai Meranti untuk melakukan serang hendap yang dirancang pada 18 Disember 1984 iaitu pada tarikh Pang Wu pulang dari perjumpaan di Bukit Fraser.

Matlamat mereka hanya satu iaitu untuk menangkap atau menghapuskan Pang Wu yang mempunyai ramai pengikut di Selangor kerana jika pengganas itu terlepas kali ini peluang untuk menjejakinya amat sukar dan dikhuatiri dia akan melakukan pelbagai rancangan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Disebabkan itulah mereka memerhatikan peta bentuk muka bumi Sungai Meranti sebelum membuat keputusan siapa yang akan pergi melakukan tugas paling berbahaya kerana peluang untuk pulang dengan selamat begitu tipis.

Akhirnya Abdul Kalam menawarkan diri untuk melakukan serang hendap tersebut diikuti tiga anggota Pasukan F iaitu Sarjan Ibrahim Che Mat, Konstabel Rosli Idrus dan Konstabel Ridzuan Busu.

Tanpa rasa gentar mereka bertawakal agar operasi yang dilakukan berjaya mencapai matlamatnya walaupun mereka mungkin gugur.

UCAP SELAMAT TINGGAL

PUKUL 11 malam 17 Disember 1984, Abdul Kalam dan tiga anggotanya telah bersiap sedia dengan segala kelengkapan untuk menuju ke Sungai Meranti.

Mereka bergerak lebih awal kerana berdasarkan maklumat, Pang Wu dan pasukannya akan turun dari Bukit Fraser pada petang atau malam 18 Disember.

Selain senjata api, peralatan komunikasi serta keperluan lain, mereka membawa tujuh claymore mine untuk memerangkap Pang Wu dan pengikutnya.

Mereka dihantar oleh Timbalan Pegawai Turus, Datuk Hassan Salim.

Pegawai Turus Pasukan F, Superintenden Sonny Tait turut datang ke rumah sewa mereka bersama Deputi Superintenden Kamaruddin Hashim atau Kenny untuk mengucapkan selamat jalan.

Abdul Kalam, Ibrahim, Rosli dan Ridzuan sempat bersalaman memohon maaf dengan anggota Pasukan F yang lain dan reda sekiranya mereka gugur dalam serangan tersebut.

Sonny sempat menyuruh mereka membaca doa sebelum meneruskan perjalanan menaiki van yang dipandu Hassan menuju ke Sungai Meranti.

Untuk menjaga kerahsiaan operasi, Hassan mengikut jalan jauh iaitu naik ke Bukit Fraser sebelum turun ke Bentong dan berpatah balik ke Kuala Kubu Bharu.

Sampai kawasan bukit di Sungai Meranti kira-kira pukul 3 pagi 17 Disember, van yang dinaiki tidak berhenti dan Abdul Kalam serta tiga anggota terlibat terpaksa melompat turun di lokasi berlainan iaitu kira-kira 200 meter setiap orang agar tidak meninggalkan jejak.

Selepas semua anggota pasukan Abdul Kalam turun dari van untuk memulakan operasi, Hassan meninggalkan kawasan tersebut.

Kini tinggal Abdul Kalam dan tiga anggotanya di dalam hutan yang gelap tanpa lampu.

Kesemua mereka berkumpul dan berjalan menuruni bukit sehingga terjumpa anak sungai dan menyusuri anak sungai tersebut hingga sampai ke lokasi serang hendap kira-kira pukul 7 pagi.

Tanpa membuang masa kerana cuaca semakin terang, Abdul Kalam dan anggota-anggotanya segera memasang tujuh claymore mine yang dikawal dengan alat kawalan jauh di kawasan bawah bukit berdekatan sungai dalam keadaan hujan.

Dalam perancangan mereka, periuk api itu akan diletupkan sebaik sahaja Pang Wu dan pasukannya menuruni bukit tersebut yang juga merupakan jalan balak.

Setiap periuk api yang dipasang akan meletuskan 700 ball bearing cukup untuk membunuh sepasukan pengganas dalam jarak 50 meter.

Mereka kemudian bersembunyi di tempat masing-masing yang telah ditentukan oleh Abdul Kalam bagi menunggu kedatangan Pang Wu dan pasukannya.

Masing-masing menggigil kesejukan kerana hawa sejuk memandangkan kawasan tersebut berhampiran Bukit Fraser ditambah hujan yang berterusan.