Tiga anggota, Ibrahim, Rosli dan Ridzuan juga menunggu penuh sabar dan debar di posisi masing-masing.

Tepat pukul 9 malam Abdul Kalam yang menunggu di kawasan gigi sungai ternampak cahaya lampu suluh dari atas bukit.

Selepas cahaya semakin dekat Abdul Kalam dengan berpandukan night vision goggle melihat seorang pengganas komunis lengkap bersenjata berjalan menuju ke tempat dia bersembunyi.

Anggota komunis itu duduk betul-betul di atas batu di hadapan Abdul Kalam. Tidak lama selepas itu dia melihat banyak cahaya lampu suluh menandakan ramai pengganas komunis menuju ke arahnya.

Tanpa membuang masa kerana bimbang tempat persembunyiannya diketahui musuh, Abdul Kalam memberi isyarat kepada Ibrahim untuk menekan alat kawalan jauh bagi meletupkan claymore mine yang dipasang dan booooooommmm!!! 

Oleh sebab posisi Abdul Kalam paling hampir dengan claymore mine dia terkena back blast hingga tubuhnya melayang ke belakang dan terkena sebatang pokok.

Pang Wu dan tiga komunis tewas

Dalam kesakitan dan mata yang kabur dia terus mencapai senjata dan membetulkan kedudukan night vision goggle dipakainya yang hampir tercabut.

Abdul Kalam kemudian nampak anggota komunis yang duduk di atas batu berlari ke arahnya sambil mengacu senjata dan tanpa membuang masa, Abdul Kalam terus melepaskan tembakan bertalu-talu.

Dia sendiri tidak tahu berapa das tembakan yang terkena pada pengganas tersebut namun lelaki itu masih gagah dan melarikan diri ke arah atas bukit.

Selepas keadaan reda Abdul Kalam cuba menghubungi pegawainya bagi mendapatkan bantuan malangnya alat perhubungannya rosak.

Dia kemudian memeriksa keadaan anggotanya dan kesemua mereka selamat dan berdasarkan pemerhatian mungkin empat pengganas komunis mati terkena letupan periuk api.

Dalam keadaan berjaga-jaga kerana mungkin ada serangan balas daripada pihak pengganas komunis, Abdul Kalam dan anggota pasukannya tidak berganjak dari tempat persembunyian masing-masing.

Kira-kira 45 minit kemudian terdengar bunyi kenderaan berhenti dan Abdul Kalam lega kerana itu adalah van dipandu Maniam, salah seorang anggota Pasukan F.

Rupa-rupanya Maniam diminta datang ke lokasi serang hendap kerana bunyi letupan periuk api boleh didengari sehingga ke pekan Kuala Kubu Baru.

Abdul Kalam kemudian menaiki van tersebut bersama seorang anggotanya dan pergi ke pekan Rawang untuk menyampaikan maklumat kepada pihak tentera kerana lokasi kejadian merupakan kawasan mereka.

Dua lagi anggota diarah menunggu di lokasi sehingga pasukan tentera tiba.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak tentera, mereka menemukan empat mayat dan salah seorang daripadanya adalah Pang Wu.

Pihak tentera turut menjejak anggota komunis yang melarikan diri dan menembak mati pengganas itu. 

Turut dirampas ialah selaras senjata milik kerajaan yang dipercayai milik seorang anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang gugur semasa bertempur dengan komunis di Hutan Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1980.

Operasi Ular di Sungai Meranti berjaya menghapuskan Pang Wu hasil keberanian dan kesungguhan anggota Pasukan F,

Walau nyawa hampir melayang, Abdul Kalam dan tiga anggotanya bersyukur kerana terselamat dan masih diberi peluang meneruskan perjuangan demi negara.