Turut bersama mereka adalah Ah Siu, anggota gerakan bawah tanah yang ditahan di hadapan Hotel Federal.

Mereka mencari pokok terap yang dijadikan ‘dead letter box’ atau peti surat mati komunis untuk mencari petanda yang ditinggalkan anggota AWF Ke-10 namun hampa kerana botol yang digali kosong.

Empat jam selepas itu mereka sekali lagi pergi ke kawasan pokok terap tersebut dan kali ini satu kotak rokok dan tiga biji batu yang diisi di dalam botol ditemukan tertanam di situ.

Itu bermakna anggota AWF Ke-10 telah menunggu di dalam hutan untuk mengambil bekalan makanan yang dipesan.

Kenny, Abdullah dan Batman pulang ke pangkalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk bersiap sedia.

Kira-kira pukul 1 tengah hari, sebuah van Volkswagen Kombi berwarna kelabu dengan bahagian belakangnya tertutup tanpa tingkap yang dipandu Kenny masuk ke kawasan hutan Tapah. 

Batman duduk di sebelah kiri kerusi penumpang hadapan manakala Ah Siu berada di tengah-tengah kenderaan tersebut. 

Abdullah, Aziz dan Yee Kai pula duduk di belakang dan bersedia dengan senjata masing-masing di tempat penumpang belakang van yang kononnya berisi bekalan makanan.

Sebuah kereta yang dinaiki Inspektor Mahmud Hambali bersama beberapa anggota Pasukan F mengekori dari jauh untuk membantu sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

Tiba di tengah jalan, Kenny turun dan berpindah ke belakang van bersama Abdullah, Aziz dan Yee Kai sementara Ah Siu yang sebelah tangannya digari pada stereng sebagai langkah keselamatan, disuruh memandu sementara Batman berada di sebelahnya.

Kenny dan Yee Kai bertinggung di sebelah pintu van kerana mereka perlu bersedia untuk menahan hidup-hidup pengganas komunis pertama yang ditemukan nanti.

Ah Siu kemudian memandu masuk mengikut jalan balak di hutan itu, namun selepas setengah jam tiada kelibat pengganas komunis kelihatan.

Kenny dan anggota Pasukan F lain mula tidak sedap hati. Mereka juga kepanasan kerana di bahagian belakang van tiada tingkap.

Ah Siu diminta berpatah balik namun tidak sampai beberapa minit, Batman memberitahu ternampak kelibat seorang anggota komunis berhampiran laluan mereka.

Van diperlahankan dan berhenti betul-betul di tepi tebing bukit. Batman kemudian turun untuk berjumpa pengganas komunis yang telah menghampiri van.

Tiba-tiba Kenny terdengar bunyi satu das tembakan. Dia kemudian terus menendang pintu sisi van yang terletak di sebelah kiri kenderaan itu dan ternampak Batman yang berlumuran darah sedang dipeluk pengganas komunis terbabit. 

Berbalas tembakan

Tanpa membuang masa Kenny menghalakan M16 ke arah lelaki itu dan terus melepaskan tembakan dan terkena di bahagian lehernya membuatkan lelaki itu terjatuh dan pengsan. Batman yang cedera turut rebah.

Dalam masa yang sama, Yee Kai yang turut melompat keluar terjatuh di tepi tebing kerana terkena tembakan seorang anggota komunis wanita yang turun dari bukit berhampiran.

Melihat keadaan Yee Kai, Kenny dengan pantas menghalakan pula senjatanya ke arah wanita itu bagi membalas tembakan hingga membunuhnya.

Ketika itu juga Kenny dan Pasukan F dihujani peluru daripada pengganas komunis lain dan mereka terpaksa berbalas tembakan hampir setengah jam.

Ketika itu nyawa mereka bagai telur di hujung tanduk kerana hanya berlindung di tebing dan van, sedangkan kumpulan pengganas komunis terdiri daripada lima orang yang menyerang mereka mempunyai kelebihan kerana berada di atas bukit.

Namun nasib menyebelahi mereka apabila tiba-tiba tembakan berhenti mungkin kerana pengganas komunis kehabisan peluru dan telah melarikan diri kerana bimbang kedatangan pasukan keselamatan lain bagi membantu Pasukan F. 

Kejadian berbalas tembak itu telah menyebabkan van Volkswagen Kombi mereka berlubang-lubang kerana ditembusi puluhan peluru. Ah Siu pula terselamat kerana bersembunyi di ruang bawah stereng.

Selepas keadaan selamat, Kenny memberikan bantuan perubatan kepada Yee Kai dan kemudian menuju ke arah Batman yang masih bernafas. 

Kenny memangku kepala Batman dan memintanya bersabar sementara menunggu bantuan tiba tetapi lelaki itu semakin lemah.

“Tolong jaga saya punya anak bos,” kata Batman terketar-ketar sambil memandang sayu wajah Kenny. Lelaki itu mengerang kesakitan dan perlahan-lahan matanya tertutup. 

Kenny menggoncang-goncang badan Batman sambil memanggil nama lelaki itu tetapi dia tidak bergerak. 

Dia tidak dapat menahan air mata daripada menitis kerana kehilangan Batman.

Tidak lama kemudian kenderaan Mahmud tiba bersama pasukan bantuan. Rupa-rupanya mereka tersasar. 

Selepas melaporkan apa yang berlaku kepada Ketua Polis Perak mereka pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah. 

Sementara itu pasukan tentera telah membantu melakukan susulan di kawasan tersebut bagi memburu pengganas komunis yang melarikan diri.

Pengganas komunis yang pengsan ditembak Kenny pula dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan sementara Yee Kai pula dirawat di sebuah klinik.

Hasil siasatan mendapati pengganas komunis itu adalah ketua tentera AWF Ke-10, Unit Penggempur Ke-5 PKM bernama Monte sementara wanita yang mati ditembak adalah isterinya.

Tiba di Kuala Lumpur, Kenny dan anggota Pasukan F lain menemui isteri dan satu-satunya anak Batman yang berusia dua tahun untuk memaklumkan kematiannya.

Kenny turut membantu pasukan polis menguruskan mayat Batman sehingga dibakar. Semasa menyaksikan upacara membakar mayat Batman, sekali lagi air mata Kenny menitis. 

Kenangan dengan lelaki itu bermula daripada penahanannya di bawah pokok jejawi di hutan Telemong, Pahang; bagaimana lelaki itu insaf dan bersedia berkhidmat dengan anggota Pasukan F, ketika mereka pergi ke Eastern Cabaret dan saat dia menutup mata di pangkuannya terbayang di dalam fikiran Kenny.
Namun beliau puas kerana hasil bantuan Batman sepanjang Operasi Tapah, Pasukan F dapat memberkas Monte.

Monte kemudian membantu Pasukan F serta polis Perak yang bekerjasama dengan 69 Komando dan pasukan tentera membunuh dua komunis dalam Operasi Beruang.

Dengan penahanan Monte juga terhasilnya Operasi Catfish di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak yang berjaya menawan kesemua 14 anggota AWF Ke-10.