TANGGAL 2 Mac 1988. Sarjan Hussein Saion memandu perlahan van Nissan C20 yang turut dinaiki beberapa anggota Pasukan F iaitu Konstabel Detektif Idros Said, Konstabel Detektif Mohd. Yunus Nasir, Konstabel Detektif Norisham Borhan dan Konstabel Detektif Yusof Omar. 

Dalam masa sama, sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Sunny yang dinaiki Inspektor Voon Ken Hong, Konstabel Detektif Ku Shariman Ku Hashim dan Konstabel Detektif Ahmad Tajuddin Ishak mengikut mereka dari belakang.

Mereka sebenarnya sedang mengekori pergerakan kereta Mitsubishi Galant Super Touring kelabu bernombor pendaftaran BCC 3318 yang dinaiki Ketua Unit Penggempur Ke-6 Parti Komunis Malaya (PKM), Chong Chor dari kawasan Cheras menuju ke ibu negara.

Sebelum itu, mereka standby di sekitar Jalan Pudu bagi mengelak pengintipan yang dilakukan sejak awal pagi disedari oleh Chong Chor dan pengikut-pengikutnya.

Pasukan F perlu berhati-hati kerana tugas mereka hari ini adalah untuk menawan hidup-hidup pengganas komunis yang amat dikehendaki pasukan keselamatan itu dan misi tersebut perlu dilakukan hingga berjaya.

Ini kerana bukan mudah untuk mengesan lokasi Chong Chor yang amat berbahaya dan licik.  

Maklumat yang diperoleh bagi mengesan kedudukan ketua pengganas komunis itu juga memerlukan usaha berterusan.

Manakan tidak, sebelum Pasukan F menjalankan pengintipan, unit perisikan Cawangan Khas terpaksa mengekori pergerakan Ketua Unit Kerja Bersenjata (AWF) Ke-9, District Committee Member (DCM) Pang Kuan.

Dia yang merupakan orang bawahan Chong Chor dari Kuala Lumpur hingga ke Bangkok, Thailand dan kembali semula ke Malaysia dengan menaiki kereta api.

Selepas menempuh perjalanan panjang, barulah mereka dapat memberikan maklumat kepada Pasukan F yang kemudiannya melancarkan tangkapan ke atas Pang Kuan yang ketika itu bersama isterinya, Area Committee Member (ACM), Ah Ying di Jalan Pasar, Kuala Lumpur. 

Pang Kuan dan Ah Ying kemudian diserahkan kepada pasukan perunding dan soal siasat Cawangan Khas yang pakar memujuk.

Pang Kuan berpaling tadah

Mereka kemudian meyakinkan Pang Kuan untuk berpaling tadah dan seterusnya mendapatkan maklumat mengenai lokasi persembunyian Chong Chor dan berjaya mengesan lelaki itu di Cheras setelah mendapatkan rakaman gambarnya.

Selepas gambar tersebut disahkan oleh Amat, pengawal keselamatan Chong Chor yang diberkas dalam Operasi Kelah di Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1981 barulah pengintipan berterusan dilakukan oleh Cawangan Khas sehinggalah membawa kepada operasi penangkapan pengganas komunis itu yang disertai Hussein dan Pasukan F yang lain.

Setelah hampir setengah jam mengekori, kereta Mitsubishi Galant Super Touring yang dinaiki Chong Chor dan dua pengikutnya berhenti di hadapan pusat beli-belah Globe Silk Store, Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira pukul 10.15 pagi.

Kenderaan dipandu Hussein dan Pasukan F lain turut berhenti. Mereka melihat seorang pengikut Chong Chor keluar dari kenderaan menuju ke sebuah kedai buku bersebelahan pusat beli belah tersebut. 

Pengganas itu dan seorang lagi pengikutnya iaitu Ketua AWF Ke-5, DCM Yong Nam duduk di dalam kereta. 

Tanpa membuang masa, anggota Pasukan F keluar daripada kenderaan masing-masing menuju ke arah Mitsubishi Super Touring.

Tiga di sebelah kanan dan tiga lagi di sebelah kiri. Mereka terus membuka pintu dan mengheret keluar Chong Chor dan Yong Nam serta terus menolak dua pengganas itu masuk ke dalam van C20.

Hasil kepakaran Pasukan F, penangkapan dilakukan dengan pantas dan tanpa sebarang pergelutan walaupun ketika itu dua pengganas komunis terbabit bersenjata. 

Van itu yang dipandu pula oleh Yusof seterusnya bergerak ke pangkalan Pasukan F diikuti beberapa lagi pegawai dan anggota Pasukan F lain antaranya Inspektor Borhan Daud dan Inspektor Mohd. Noh Khamis.

Beberapa lagi anggota Pasukan F yang masih berada di tempat kejadian termasuk Hussein menahan pula seorang lagi pengikut Chong Chor yang masuk ke kedai buku dan membawa mereka ke pangkalan.

Kejayaan semua anggota Pasukan F yang ketika itu diketuai oleh Superintenden Stephen Kingsford Gonzalgo dan timbalannya, Deputi Superintenden Kamaruddin Hashim atau Kenny menangkap ketua pengganas komunis tersebut merupakan satu kejayaan besar yang mencetuskan Operasi Taloong.