Mungkin kerana faktor usia dan semangat perjuangan yang semakin pudar, pasukan perunding tidak mengambil masa yang lama untuk meyakinkan mereka agar bekerjasama dengan Cawangan Khas.

Yong Nam adalah orang pertama yang membuka mulut dan mendedahkan rancangan sekumpulan lapan hingga sembilan anggota AWF Ke-5 yang berkubu di pinggir hutan berhampiran jalan naik menuju ke Genting Highlands untuk merompak dan meletupkan bas yang dinaiki orang awam menuju ke pusat peranginan itu.

Berdasarkan maklumat tersebut, Yong Nam diminta menulis surat kepada pasukannya mengatakan kononnya dia telah berjumpa Chong Chor dan meminta mereka standby kerana dia akan menghantar seseorang untuk menemui mereka di tempat persembunyian pada malam perayaan kaum Cina.

Jalan masuk ke tempat persembunyian tersebut ialah di Batu 207 ke arah Kuantan dan Batu 53 ke arah Kuala Lumpur.

Tiba hari yang dijanjikan Kenny dan anggota Pasukan F termasuk Mohd. Noor, Md. Din Ibrahim, Razak Mohd. Nor, Jimmy dan Lobo serta Ketua Turus E3 (M), Mohd. Said Awang bergerak menuju ke tempat yang dijanjikan bersama seorang bekas komunis yang menyamar sebagai kurier kepada Yong Nam.

Kurier tersebut membawa satu plastik pau yang ditempah khas oleh Pasukan F. Sebenarnya pau itu telah diletakkan sejumlah ubat tidur kerana mereka membuat rancangan untuk menangkap kesemua anggota komunis AWF Ke-5 yang berada di situ tanpa sebarang pertempuran.

Ini kerana di tempat persembunyian mereka terdapat sejumlah besar senjata api dan bahan letupan yang dikhuatiri akan membahayakan nyawa anggota Pasukan F.

Dalam kepekatan malam, kurier tersebut terus menuju ke tempat persembunyian anggota AWF Ke-5 sambil memakai alat peranti yang akan memberi isyarat kepada anggota Pasukan F sebaik sahaja kesemua pengganas komunis itu pengsan selepas menikmati pau yang dibawa.

Selepas beberapa jam menunggu akhirnya kurier tersebut memberikan isyarat menyuruh Pasukan F masuk ke tempat persembunyian pengganas komunis tersebut.

Setibanya di sana, kelihatan kira-kira lapan pengganas komunis bergelimpangan dan tanpa membuang masa anggota Pasukan F mengikat tangan dan kaki mereka serta mengumpul senjata dan bahan-bahan letupan.

Selepas itu masing-masing memikul pengganas komunis yang pengsan untuk di bawa keluar bersama senjata dan bahan letupan.

Kenny sendiri memikul dua pengganas komunis dan dia serta semua anggota Pasukan F terpaksa berjalan beberapa kilometer sebelum sampai di tepi jalan di mana kenderaan pasukan telah menunggu untuk membawa tawanan dan senjata ke pangkalan.

Lapan tangkapan itu adalah permulaan operasi besar-besaran untuk memberkas kesemua saki-baki pengganas komunis Unit Penggempur Ke-6 di bawah Chong Chor.

Tangkap habis-habisan

Pasukan F terus menggempur kubu pengikut-pengikut Chong Chor di merata-rata tempat di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang.

Setiap hari tidak mengira siang dan malam pasti ada tangkapan dibuat antara lima hingga enam orang pengganas komunis.

Kesemua tangkapan dibuat hasil kerjasama daripada Chong Chor yang memang telah menyerah sepenuhnya kepada Pasukan F dan Cawangan Khas.

Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Rahim Noor turut memainkan peranan berjumpa dengan Chong Chor dan memintanya memberikan maklumat mengenai saki-baki pengikutnya dengan jaminan kesemua mereka akan ditangkap hidup-hidup.

Selain itu, ketua dan pegawai-pegawai Cawangan Khas di semua negeri terlibat antaranya Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin yang ketika itu bertugas di Selangor banyak membantu melancarkan Operasi Taloong.

Tangkapan terakhir dan paling ramai iaitu 30 orang melibatkan kumpulan District Committee Member Cheng San di Tanjung Malim, Perak.

Mereka menyerah diri kepada Cawangan Khas di kawasan perkuburan Cina di Tanjung Malim dan terpaksa dibawa ke pangkalan Pasukan F menggunakan bas kerana jumlah yang terlalu ramai.

Ketika dibawa berkumpul menaiki bas jelas kelihatan wajah sedih mereka seperti askar kalah perang dan ketika menyerahkan senjata ada yang sebak dan mengalirkan air mata.

Hasil tangkapan terakhirnya itu menjadikan keseluruhan pengganas komunis yang ditawan dalam Operasi Taloong yang berlangsung selama empat bulan kepada 83 orang kesemuanya.

Kesemua tangkapan dilakukan secara senyap dan dirancang dengan teliti tanpa membazirkan sebutir peluru pun.

Melalui tangkapan itu, beratus rampasan melibatkan senjata api, bom, kelengkapan serta alat perhubungan dilakukan selain pemusnahan food dump atau gudang simpanan makanan dan kem-kem komunis.

Kejayaan ini juga berjaya menghapuskan anasir komunis di dalam negara seterusnya membawa kepada pemeteraian Perjanjian Haadyai 1989.