Mereka menunggu dengan sabar kedatangan Ah Poh Suk serta pengikutnya dan penantian berlanjutan hingga ke malam.

Kira-kira pukul 8 malam mereka terdengar suara lelaki dan wanita bercakap dalam bahasa Tionghua.

Hasil daripada intaian dari lubang dinding rumah kayu, kelihatan dua lelaki yang dipercayai Ah Poh Suk dan orang kanannya berada di ruang tamu manakala dua wanita termasuk isterinya berada di ruang dapur. 

Ah Poh Suk terus bertanyakan di mana isteri dan anak-anak tuan rumah dan selepas berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, mereka berbual kosong di ruang tamu dan sambil menunggu makanan yang sedang disediakan oleh isterinya di dapur.

Kelihatan sepucuk pistol di pinggang Ah Poh Suk dan sebutir bom tangan tergantung di dadanya manakala dua laras senjata panjang diletak di sebelah kerusi rotan yang mereka duduk.

Isteri Ah Poh Suk dan seorang lagi pengikut wanita pula berada di dapur untuk menyediakan makanan juga membawa senjata masing-masing yang diletakkan di dinding.

Selepas kira-kira 10 minit menunggu masa yang sesuai Razak, Borhan, Hussain, Hussin, Yusof dan Mazaruddin menyerbu keluar dari stor baja dan terus pergi ke arah Ah Poh Suk.

Zahaliman bersama Riboet menuju keluar rumah melalui pintu belakang manakala Hussin  menuju ke arah dapur untuk menahan dua pengganas wanita. 

Menyedari kehadiran Pasukan F, Ah Poh Suk terus memegang bom tangan di dadanya menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah pengganas itu dan orang kanannya.

Hussin pula terpaksa menembak dua pengganas wanita di dapur yang telah mengambil senjata mereka untuk bertindak balas. 

Kesemua anggota Pasukan F menarik nafas lega kerana pin bom tangan belum sempat ditarik oleh Ah Poh Suk jika tidak pasti nyawa kesemua mereka yang berada di dalam rumah melayang.

Bagaimanapun mereka terpaksa berjaga-jaga hampir dua jam sementara menunggu pasukan bantuan tiba kerana dibimbangi pengikut-pengikut lain Ah Poh Suk akan melakukan serangan balas selepas mendengar bunyi tembakan di dalam rumah.

Selepas bantuan tiba untuk menguruskan mayat Ah Poh Suk dan tiga pengikutnya serta mengambil senjata dan barangan bukti lain, barulah Pasukan F bergerak pulang ke Bukit Aman bersama Sritharan.

Kesemua mereka melakukan tugas dengan cemerlang tanpa gentar walau nyawa sentiasa dalam bahaya.