WALAUPUN Pasukan F berjaya membunuh CT Loner dan memberkas 10 pengganas komunis Unit Penggempur Ke-16 termasuk salah seorang pemimpin kanannya, District Committee Member Ah Chor melalui sekatan jalan raya di Kuala Lipis, Pahang, namun misi Operasi Kelah masih belum tamat.

Ini kerana Chong Chor tertanya-tanya mengapa 10 anggota Unit Penggempur Ke-16 yang sepatutnya bertemu kumpulannya di Sungai Ruan masih tidak kunjung tiba dan telah menghantar dua orang kepercayaan iaitu Amat dan Thompson untuk mencari dan membawa mereka berjumpa dengannya di Kuala Lipis.

Amat yang juga merupakan pengawal peribadi Chong Chor dan Thompson kemudian pergi mencari mereka seperti yang diarahkan dan destinasi mereka ialah kawasan Padang Tengku.

Bagaimanapun Pasukan F yang dapat menghidu kedatangan dua pengganas komunis itu telah mengatur rancangan untuk memberkas mereka dalam satu lagi sekatan jalan.

Sekatan jalan kali ini perlu dirancang dengan teliti memandangkan Thompson seorang yang trigger happy dan dibimbangi akan mencederakan anggota Pasukan F yang bertugas.

Jadi seorang anggota Pasukan F yang menyamar sebagai pengganas komunis dikenali sebagai Tan telah diarah membawa Amat dan Thompson dari Kuala Lipis menuju ke Padang Tengku menaiki sebuah teksi pada sebelah malam.

Tan diarahkan lalu di kawasan berdekatan sebuah perkampungan Melayu kerana di situlah anggota Pasukan F akan mengadakan sekatan jalan.

Seorang anggota Pasukan F iaitu Sarjan Detektif Abd. Shukor Jamaludin akan menyamar sebagai anggota polis berpakaian seragam yang mengadakan sekatan jalan.

Tepat pukul 1 pagi, Tan yang tiba di kawasan menurun bukit tiba-tiba memperlahankan teksi yang dipandunya selepas nampak sebuah Land Rover polis di tepi jalan dengan seorang anggota polis berpakaian seragam sedang berdiri di sisi kenderaan itu.

Dalam bahasa Kantonis dia memberitahu Amat dan Thompson terdapat sekatan polis di hadapan mereka dan meminta mereka bertenang.

Sebaik-baik sahaja teksinya mendekati Land Rover tersebut, Shukur menyapa Tan dan meninjau sekitar kereta sementara Amat dan Thompson yang duduk di kerusi belakang kereta hanya mendiamkan diri kerana merasakan tiada bahaya yang akan menimpa mereka.

Tanpa disedari mereka, sebenarnya lapan lagi anggota Pasukan F berpakaian serba hijau yang bersembunyi di dalam semak di kiri dan kanan jalan sedang merangkak mendekati teksi yang dinaiki mereka.

Mereka ialah Kenny, Mahmud, Konstabel Detektif Mazaruddin Hamzah, Konstabel Detektif Maulan Midi, Konstabel Detektif Hussein Saion, Konstabel Detektif Abdullah Ibrahim, Konstabel Detektif Rusli Edros dan Konstabel Detektif Adnan Ismail.

Mereka hanya menunggu isyarat daripada Shukor untuk bertindak.

“Tankey,” kata Shukor kepada Tan menandakan semuanya berjalan lancar. Tankey bermakna kad pengenalan. Ayat itu juga adalah signal kepada Pasukan F.

Tanpa membuang masa, anggota Pasukan F terus membuka pintu belakang kiri serta kanan teksi sebelum menarik Amat dan Thompson.

Dua pengganas komunis itu yang terperanjat cuba melepaskan diri sementara Tan yang panik terlupa menarik brek tangan menyebabkan teksi yang dipandunya bergerak.

Pergelutan berlaku antara tiga anggota Pasukan F dengan Thompson di tepi kereta selepas lelaki berbadan besar itu ditarik keluar daripada kenderaan tersebut.

Thompson sempat mencapai sepucuk pistol miliknya dan melepaskan satu tembakan namun tersasar.

Semuanya berlaku tidak sampai lima minit. Akhirnya Thompson dan Amat berjaya diberkas sekali gus dua pucuk pistol carbine serta dua bom tangan berjaya dirampas.

Gulungan surat perdaya Chong Chor

Amat, Thompson dan Ah Chor kini di bawah ‘simpanan’ Cawangan Khas dan telah bersetuju bekerjasama dengan Pasukan F. Mereka akan digunakan sepenuhnya untuk mengumpan Chong Chor.

Pasukan F mula mengatur satu lagi perangkap untuk mengumpan Chong Chor dengan menulis surat berbentuk roll slip kononnya daripada Amat dan Thompson yang menyatakan mereka telah berjumpa dengan anggota Unit Penggempur Ke-16 termasuk ketuanya Ah Chor.

Dalam roll slip itu, Chong Chor dan kumpulannya diminta datang menemui Ah Chor.

Bagaimanapun Chong Chor membalas surat berkenaan mengatakan bahawa dia akan menghantar beberapa anggotanya menemui Ah Chor pada hari yang ditetapkan di kem sementara pengganas komunis di hutan Pulau Jubli, Kuala Lipis.

Hari tersebut akhirnya tiba. Pasukan F yang dianggotai oleh Kenny, Inspektor Song Leng Kah dan Inspektor Voon Ken Hong sudah bersiap sedia di posisi masing-masing di kawasan semak, tepi Sungai Jelai bersebelahan Pulau Jubli.

Kira-kira pukul 11 malam, kelibat dua komunis lengkap berpakaian seragam kelihatan sedang menolak sebuah tayar lori balak ke dalam sungai untuk dijadikan pelampung.

Mereka perlu menyeberangi Sungai Pahang untuk bertemu dengan Ah Chor, Amat dan Thompson setelah melihat isyarat lampu suluh yang ditujukan kepada mereka. Ken Hong dan Pasukan F yang lain hanya memerhatikan dari jauh.

Tidak jauh dari sungai, terdapat sebuah kem sementara milik pengganas komunis yang sebenarnya dibuat untuk menunjukkan Ah Chor, Amat, Thompson dan anggota Unit penggempur Ke-16 sudah disatukan dan hanya menunggu kedatangan wakil Chong Chor iaitu Roger dan Benson.

Selepas menjejakkan kaki ke tebing sungai, Pasukan F yang sudah lama bersiap sedia di tepi semak terus menerkam Roger dan Benson.

Kedua-duanya dapat diberkas dengan mudah. Namun rupanya ada seorang lagi anggota komunis yang mengikuti Roger dan Benson namun tidak sempat menyeberang sungai kerana sakit perut.

Mahu tidak mahu Pasukan F perlu menghapuskan komunis berkenaan kerana dikhuatiri akan menggagalkan misi mereka.

Dua pasang kasut jadi petunjuk

Esoknya kira-kira pukul 10 pagi, ketika orang ramai sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, enam anggota Pasukan F sedang mengatur langkah menuju ke kawasan hutan di Pulau Jubli untuk menjejak anggota komunis yang terlepas malam itu.

Mereka ialah Konstabel Rusli Edros, Konstabel Zakaria Md. Noor, Asisten Superintenden Abdullah Hamid, Sarjan Shukor, Konstabel Shahrulzaman dan Konstabel Jasni Shariff.

Turun sahaja dari bot, mereka naik ke tebing dan bergerak ke arah laluan trek sehingga terjumpa dua pasang kasut milik Roger dan Benson yang ditinggalkan.

Selepas setengah jam perjalanan, ketika menuruni kawasan berbukit, Rusli ternampak kelibat pengganas komunis yang dikehendaki itu berada kira-kira 10 meter daripadanya.

Pengganas komunis itu terus mengangkat senjata menyasarkan ke arah Zakaria namun Rusli yang berada di hadapannya lebih pantas melepaskan tembakan dan mengenai dagu musuh sekali gus menyelamatkan nyawa rakannya.

Sambil menekup luka, pengganas komunis itu terus merangkak untuk melarikan diri menuju ke trek kereta api namun dia sempat membaling bom tangan ke arah Rusli namun kali ini Zakaria pula menyelamatkan Rusli dengan menariknya ke tepi sebelum menembak mati pengganas komunis tersebut.

Kejayaan itu antara salah satu pencapaian signifikan dalam Operasi Kelah kerana dengan tertangkapnya empat anggota dari Unit Penggempur Ke-6 yang juga orang kepercayaan Chong Chor dan membunuh seorang lagi pengganas komunis menjadikan Cawangan Khas berada satu langkah di hadapan musuh.

Berikutan tangkapan yang dibuat, Cawangan Khas berjaya menemukan tempat penyimpanan barang dan bekalan makanan milik Unit Penggempur Ke-16 termasuk daging gajah yang disalai, senjata, bom dan alat komunikasi yang disimpan di Gua Chadu, Gua Musang, Kelantan yang sepatutnya diserahkan kepada kumpulan Chong Chor.

Peralatan tersebut dipunggah dan dibawa keluar daripada gua menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).