Mereka perlu mengesan seorang pengganas komunis daripada Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) Ke-7 dipanggil CT Loner yang terputus hubungan dengan rakan sepasukannya selepas diserang hendap oleh Pasukan F di Benta, Pahang.

AWF Ke-7 diketuai oleh seorang pengganas komunis perempuan bernama Ma Hoong dan pasukan itu di bawah naungan Ketua Unit Penggempur Ke-6 Parti Komunis Malaya (PKM), Central Committee Member (CCM) Chong Chor.

Dalam serangan terhadap AWF Ke-7, CT Loner melarikan diri dan bersembunyi di hutan.

Selepas terpisah daripada kumpulannya, CT Loner berjalan kaki di dalam hutan sejauh 20 kilometer seorang diri menuju ke ladang getah seluas kira-kira lapan hektar di pinggir hutan milik seorang wanita bernama Mona.

Mona adalah master kurier yang menjadi perantara kepada beberapa kumpulan komunis termasuklah kumpulan Chong Chor.

Dia juga sering berhubung dengan ahli kumpulan bawah tanah untuk menguruskan bekalan makanan, mengendalikan hal ehwal logistik dan bantuan-bantuan lain.

CT Loner mahu berjumpa dengan wanita itu untuk menceritakan apa yang telah terjadi terhadap AWF Ke-7 dan bagaimana rakannya, Andy berpangkat senior kader menjadi tali barut pihak berkuasa sehingga pasukannya diserang hendap dan berpecah. Ada yang diberkas.

Atas faktor keselamatan, CT Loner tidak boleh kembali ke tapak kem lama dan terpaksa mencari Mona kerana wanita itu satu-satunya medium untuknya agar maklumat itu dapat sampai kepada Chong Chor.

Namun CT Loner tidak tahu Mona rupanya sudah berpaling tadah dan menjadi sumber Cawangan Khas.

Sesampainya di rumah Mona, CT Loner menceritakan apa yang berlaku. Mona meminta CT Loner bersembunyi berdekatan rumahnya sementara dia keluar untuk memaklumkan komunis lain namun sebaliknya wanita itu pergi berjumpa Cawangan Khas.

Ketika itulah rancangan menghapuskan CT Loner dibuat kerana kehadirannya boleh menjadi penghalang kepada serangan yang bakal dilakukan terhadap pengganas komunis nanti.

Malam esoknya CT Loner kembali ke rumah Mona tanpa mengetahui Kenny dan Mahmud telah dihantar oleh Pasukan F untuk menjejaknya.

Kenny dan Mahmud dalam keadaan bersiap sedia terus memantau rumah kayu itu yang terletak tidak berapa jauh dari hutan tersebut.

Mereka hanya menunggu masa untuk bertindak terhadap CT Loner seperti yang diarahkan oleh Pegawai Turus E1, Senior Asisten Komisioner Leong Chee Woh.

Komunis itu mesti diberkas atau dihapuskan jika mengancam nyawa bagi mengelak berita tentang tangkapan kumpulan Andy tersebar.

Tidak lama kemudian, CT Loner keluar dari rumah Mona dalam keadaan terhuyung-hayang.

Langkahnya perlahan kerana kepalanya pening selepas diberikan ubat yang terlalu kuat agar dia senang diberkas.

Namun dia yang membawa sepucuk rifle karbain dan sebiji bom tangan cuba melawan membuatkan Kenny dan Mahmud tidak mempunyai pilihan.

Mereka terpaksa menembak CT Loner dan akhirnya peluru daripada pistol Kenny menembusi tubuh lelaki bertubuh sederhana itu.

“Mari kita uruskan mayat ini” kata Kenny kepada Mahmud dan mereka menggali lubang yang dalam untuk menanam mayat pengganas komunis itu supaya sukar dikesan.

Selesai tugas, kedua-dua pegawai Pasukan F tersebut pulang ke pangkalan Cawangan Khas di ibu negara.

Peristiwa itu menjadi titik tolak bermulanya Operasi Kelah pada tahun 1981 yang bertujuan untuk menghalang Unit Penggempur Ke-16 dari Betong, selatan Thailand bertemu dengan Unit Penggempur Ke-6 bagi membekalkan senjata api dan alat komunikasi di Sungai Ruan, Pahang.


Operasi bermula

Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh Cawangan Khas, Unit Penggempur Ke-16 yang telah tiba di Gua Musang, Kelantan akan bergerak ke Kuala Lipis, Pahang dengan menaiki kereta api.

Pasukan F dikerah secara berperingkat untuk meninjau keadaan dan perjalanan kereta api di sana dari awal pagi hingga waktu terakhir laluan bagi memberkas kesemua pengganas komunis itu.

Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama akan menaiki gerabak menghala ke arah utara (Gua Musang) manakala selebihnya ke selatan (Kuala Lipis).

Setelah beberapa bulan intipan dibuat, kelibat gerombolan pengganas komunis yang dapat dikenal pasti berkulit putih pucat kerana jarang disinari mentari masih tidak kelihatan.

Akhirnya, arahan baharu diterima daripada Cawangan Khas pusat meminta Pasukan F memantau laluan sungai pula kerana komunis dikatakan akan melalui jalan air untuk ke Kuala Lipis.

Seperti biasa, Pasukan F bergegas ke lokasi yang ditetapkan dan mula menjalankan pemerhatian dengan menaiki rakit di sepanjang Sungai Jelai, Pahang.

Kali ini kebanyakan masa dihabiskan di atas air dan jika ada orang kampung berdekatan yang ternampak mereka, Pasukan F akan berpura-pura menangkap ikan di sungai.

Oleh sebab khuatir pengganas komunis bergerak pada waktu malam, mereka juga perlu meneruskan pemantauan dan bersiap sedia ketika gelap.


Helah sekatan jalan berkas 10 komunis

Setelah beberapa minggu anggota Pasukan F melakukan intipan di kawasan sungai, jejak anggota Unit Penggempur Ke-16 masih belum dikesan.

Akhirnya Cawangan Khas berhasil mengumpan supaya pengganas komunis dari Unit Penggempur Ke-16 menggunakan jalan darat melalui Mona.

Hasil bantuan Mona, pengganas-pengganas komunis tersebut yang dianggarkan seramai 10 orang bersetuju berkumpul di rumahnya.

Mereka kononnya akan dibawa bertemu Unit Penggempur Ke-6 dengan menaiki teksi dari Kechau ke Sungai Ruan secara berperingkat.

Tanpa pengetahuan kumpulan pengganas komunis itu, Pasukan F telah melakukan rancangan rapi untuk memberkas mereka dalam perjalanan menuju ke Sungai Ruan.

Teksi yang dipandu oleh seorang bekas anggota komunis yang telah bekerjasama dengan Pasukan F akan melalui kawasan Sungai Tempoyang di mana sepasukan anggota Pasukan F akan menyamar sebagai anggota polis berpakaian seragam yang mengadakan sekatan jalan raya.

Anggota terlibat ialah Asisten Superintenden Abdullah Hamid, Sarjan Abu Bakar Jalil, Koperal Mohsid Asangat, Konstabel Hashim Ujang, Konstabel Iesa Atan, Konstabel Ibrahim Che Mat dan Konstabel Mohd. Aziz Yusoff.

Sekatan jalan yang dijalankan pada sebelah malam dan awal pagi pada 7, 26 dan 27 Februari 1981 itu berjaya menawan 10 anggota komunis tanpa melibatkan pertumpahan darah dan sekali gus menyekat pertemuan antara Unit Penggempur Ke-16 dengan Unit Penggempur ke-6.