Berpengalaman bertugas di dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Selangor iaitu BBP Bandar Baru Bangi dan BBP Semenyih, antara operasi besar yang pernah disertainya adalah kes helikopter terhempas yang membawa Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 pelajar Madrasah Anak-anak Yatim Al Taqwa.

Malah, dalam tempoh itu juga, anak kelahiran Johor Bahru berusia 26 tahun ini pernah mengalami kecederaan serius dan diramal oleh doktor hanya mampu bertahan untuk hidup selama enam bulan sahaja.

Menceritakan semula pengalaman tragis tiga tahun lalu, Mohamad Syafiq yang pada ketika itu baru sahaja bertugas kembali selepas cuti bertunang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kebakaran di Bandar Teknologi Kajang, Selangor.

Menurutnya, apabila masuk ke dalam rumah di tingkat tiga untuk mengawal api daripada merebak, dia melihat bumbung rumah tersebut sudah mulai runtuh dan anggota bomba yang menjalankan tugas turut dinasihatkan supaya berhati-hati.

“Ketika saya keluar dari rumah tersebut, tiba-tiba saya terasa seperti dihempap objek yang sangat berat dan apabila membuka mata, saya melihat timbunan batu di atas badan sebelum pitam. Saya tidak tahu apa yang berlaku dan apabila sedar, saya sudah berada di Hospital Kajang untuk rawatan dan dimaklumkan dihempap dinding ketika operasi.

“Setelah diperiksa, doktor memaklumkan kemungkinan saya hanya mempunyai tempoh hayat selama enam bulan kerana mengalami keretakan di leher dan kepala, melecur di tangan dan disahkan menghidap radang paru-paru disebabkan hentakan yang kuat,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Ujarnya, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya sebaliknya dia cuba untuk kembali sihat dengan menjalani rawatan dan fisioterapi sehingga disahkan sembuh dalam tempoh tiga bulan.

“Saya serahkan semuanya pada takdir. Alhamdulillah saya kembali sembuh dan dapat melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang ditetapkan. Walaupun melalui pengalaman membahayakan nyawa, saya tidak serik bertugas dalam JBPM sebaliknya perkara itu membuatkan semangat untuk terus membantu masyarakat semakin menebal,” kata anak kepada pesara pegawai polis itu.

Selain itu, anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, sebagai pegawai bomba, beliau tidak terlepas daripada berdepan dengan pengalaman menyentuh perasaan antaranya ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam kejadian tanah runtuh membabitkan penghuni Madrasah Anak-anak Yatim al-Taqwa, Batu 14, Hulu Langat pada 21 Mei 2011.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, cuaca masih lagi hujan dan beliau serta rakan setugas mendengar suara kanak-kanak yang tertimbus tanah runtuh meminta tolong dan merayu supaya tidak meninggalkan mereka.

“Bagaimanapun, selepas runtuhan ketiga berlaku, suasana bertukar senyap dan kami tahu ketika itu sudah sukar untuk menemui mangsa yang masih selamat. Perasaan kami bercampur baur tambahan pula kejadian itu membabitkan anak-anak yatim, bagaimanapun kami tolak tepi semua itu dan meneruskan tugas,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi menyelamat berterusan sehingga pagi keesokannya dan ketika itu, mereka cuba mengeluarkan satu mayat yang terhempap batu besar dengan bantuan kren.

“Apabila batu diangkat, kami lihat mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan sujud di atas sejadah dan keadaan mayatnya masih sempurna. Kami menganggap kejadian itu sebagai keajaiban Tuhan dan sehingga kini saya masih mengingati peristiwa itu,” jelasnya.