Perbuatan itu disedari rakan setugas, Lans Koperal Ahmad Mahadi selepas menghulurkan sebatang rokok keretek kepadanya.

Ketika itu mereka dan empat lagi rakan baru sahaja selesai menangkap dua pengganas komunis wanita yang ingin menggugurkan kandungan di pekan Rawang, Selangor pada petang 6 Jun 1987 dan dalam perjalanan ke Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

“Mereka agak pelik bila saya minta rokok kerana saya bukan perokok. Tetapi sebenarnya saya cuba menghalang bau busuk pada badan kerana salah seorang pengganas wanita itu muntah beberapa kali dan terkena kepada saya.

“Dia sebelum itu meronta-ronta dan beberapa kali mahu meloloskan diri. Mungkin itu hanya taktik untuk mengalihkan perhatian kami, namun rupanya dia cuba meletupkan sebutir bom tangan buatan sendiri yang disimpan pada badannya,” katanya kepada Mega Wira di sini baru-baru ini.

Pesara berpangkat Sarjan Mejar berusia 61 itu memberitahu, jika bukan disebabkan rakannya, Lans Koperal Md. Din Ibrahim yang mencurigai gerak-geri pengganas tersebut dan merampas bom daripadanya sudah tentu kesemua lima nyawa di dalam kenderaan itu melayang.

“Isteri saya pula sedang sarat dan hanya menunggu hari untuk melahirkan anak ketiga, tetapi saya terpaksa bertugas untuk melaksanakan Operasi Pancing di sebuah klinik di situ,” katanya mengimbau semula peristiwa itu ketika berkhidmat dalam Pasukan F, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, bapa kepada lima cahaya mata itu menjelaskan, selain sentiasa berwaspada dalam apa juga situasi, kemahiran teknik penyamaran, berfikiran logik dan sabar amat perlu untuk menjayakan sesuatu misi yang dilancarkan Pasukan F.

“Semua operasi dilakukan dengan penuh berhati-hati sehinggakan jika terserempak kenalan ketika menjalankan tugas pun kami mengelak. Malah, jika berselisih dengan rakan setugas lain kami akan berlakon seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain,” ujarnya.

Menceritakan salah satu pengalaman bertempur dengan komunis, Md. Yusof berkata, ketika itu beliau di Platun Khas (Tiger Platoon), Batalion 12 Pasukan Polis Hutan dan terlibat dalam sebuah misi khas iaitu Operasi Indera di Estet Budu, Kuala Lipis, di Pahang Barat sekitar tahun 1978.

“Dalam operasi terbabit, ketika kami dalam kedudukan serang hendap, saya terdengar suara orang bercakap dan ternyata ada kelibat tiga pengganas komunis di zon bunuh.

“Semasa bertempur, saya sempat berlindung di sebalik sebatang pokok getah kerana ketika itu pengganas komunis menyerang dan melepaskan berdas-das tembakan namun akhirnya dua orang musuh terbunuh manakala satu lagi sempat melepaskan diri,” katanya.

Menceritakan serba sedikit mengenai kehidupannya, Md. Yusof yang bersara pada 5 September tiga tahun lalu menyifatkan, di mana beliau berpijak sekarang adalah hasil usaha dan titik peluhnya untuk maju walaupun dilahirkan dalam sebuah keluarga susah.

“Bapa saya merupakan seorang pemandu lori manakala saya ada 11 orang adik beradik. Memang kami bukan orang senang. Ketika sekolah, saya terpaksa bekerja menjadi pekebun, menoreh getah, mengambil upah memanjat pokok kelapa dan kerja-kerja kampung untuk menampung hidup pada usia 16 tahun.

“Saya pernah gagal subjek Matematik dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan terpaksa berhenti sekolah selama setahun. Saya kemudian bekerja sebagai pembersih kebun getah di Segamat dengan gaji RM2.20 sehari,” katanya yang gemar bertukang dan mengumpul koleksi motosikal klasik.

Namun jelas anak kelahiran Sungai Mati, Tangkak, Johor itu, keadaan tersebut tidak mematahkan semangatnya.

Dia kemudian pulang semula ke kampung dan beriltizam untuk menyambung semula pengajian di sebuah sekolah persendirian pada waktu petang dan bekerja pada waktu pagi.

“Oleh kerana tekanan kewangan, saya terpaksa bekerja juga untuk membayar yuran pembelajaran. Namun bukan itu sahaja dugaannya, saya perlu berbasikal sejauh kira-kira 20 batu (32.18 kilometer) setiap hari untuk ke sekolah,” katanya.

Kini selepas bersara, Md. Yusof gemar menghabiskan masa melakukan aktiviti sihat dengan bersukan manakala pada waktu tertentu beliau sering diminta menjadi pensyarah jemputan untuk memberi ceramah kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sekitar Temerloh, Raub dan Kuantan, Pahang.