Menuju minit kelima, percikan bunga api mula dilepaskan, sekali gus menutup pertunjukan khas sempena majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 No. 18 Skuadron yang berlangsung di Pengkalan Udara TUDM di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Melewati dua dekad khidmatnya dalam mengawal kedaulatan ruang udara negara yang berkeluasan lebih 329,750 kilometer persegi bermula dari Perlis hingga ke Sabah, pesawat- pesawat berkenaan yang telah beberapa kali dinaik taraf masih gagah serta setia menjadi ‘kuda perang terbang’ barisan pahlawan No. 18 Skuadron.

Sempena mengenang tarikh keramat penubuhan No. 18 Skuadron, TUDM mengambil inisiatif mengumpul kembali bekas juruterbang serta juruteknik yang pernah menyertai pasukan berkenaan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 29 Julai 1997.

Lebih menarik, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang yang hadir ke majlis berkenaan diterbangkan khas dari Pangkalan Udara Subang dengan menaiki Hornet yang dipandu oleh Pegawai Pemerintah No. 18 Skuadron, Kolonel Koey Tang Chai.

Menurut Affendi, selepas 20 tahun, No. 18 Skuadron telah berkhidmat dengan cemerlang dalam menjaga ruang angkasa negara dan kini dianggap sebagai aset yang matang.

Ujar beliau, sejajar dengan keperluan operasi dan perkembangan teknologi terkini, TUDM telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program naik taraf dikenali sebagai 25x, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan yang mementingkan peningkatan keupayaan aset-aset sedia ada yang dimiliki.

“Pesawat tempur generasi keempat ini telah membuktikan kehebatannya apabila berjaya merealisasikan pelbagai tugasan yang diamanahkan. Antaranya, ketika krisis pencerobohan askar Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 2013,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang dihadiri lebih 200 anggota dan bekas anggota.

Ujar Affendi, Skuadron No. 18 yang mengendalikan pesawat berkenaan juga diberi kepercayaan melaksanakan misi mengiring pesawat Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

“Selain itu, setiap kali berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Malaysia (LIMA), FA-18D Hornet turut diberi penghormatan untuk melakukan pertunjukan udara bersama pasukan dari negara-negara seperti Rusia dan Korea Selatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, lapan pesawat tempur FA-18D Hornet itu diyakini mampu melaksanakan tugas sehingga 2035.

Katanya, ini kerana kesemua pesawat berkenaan telah dinaik taraf malahan masih mampu berkhidmat kepada negara dengan mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku di rantau ini ketika ini.

“Kesemua pesawat ini telah dinaik taraf secara konsisten termasuk pemasangan sistem senjata yang baharu iaitu Joint Direct Attack Munition (JDAM) selain pemasangan peluru berpandu AMRAAM C7,” katanya.

Terbangkan Hornet pulang ke Malaysia

TIGA tahun sebelum No. 18 Skuadron beroperasi secara rasmi, sekumpulan juruterbang TUDM bersama kakitangan teknikal telah dihantar menjalani latihan khas di Missouri, Amerika Syarikat (AS) selama tiga tahun bagi tujuan memahirkan sebelum mengendalikan aset tempur yang dikategorikan sebagai antara yang paling canggih ketika itu.

Berkongsi pengalaman diberikan tugas menerbangkan salah satu daripada lapan buah FA 18D Hornet, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Hisham Yahya, 62, berkata, misi berkenaan merupakan antara detik paling manis sepanjang bertugas dalam TUDM.

Menurut anak kelahiran, Ipoh, Perak itu, momen berkenaan juga dikenang sebagai ‘penghormatan terbesar’ yang diberikan kepadanya kerana ketika itu juruterbang TUDM masih belum mempunyai pendedahan meluas tentang aspek pengendalian jet tempur berkenaan.

“Penerbangan dari Missouri ke Pangkalan Udara Butterworth memakan masa selama hampir 24 jam, berjalan lancar dan saya berasa teruja melaksanakan tugas berkenaan,” katanya kepada Mega Wira baru-baru ini.

Menurutnya, selepas meninggalkan ruang angkasa Missouri, mereka berhenti di Honolulu, Hawaii sebelum meneruskan penerbangan membelah lautan Pasifik Utara dan singgah di Pangkalan Tentera Guam, AS.

“Saya berjaya mendaratkan pesawat ini kira-kira pukul 12 tengah hari di Pangkalan Udara Butterworth. Mulai detik itu, bermulalah tugas kami secara rasmi mengoperasi FA-18D Hornet bersama penubuhan No. 18 Skuadron,” katanya yang kini bertugas dengan syarikat penerbangan AirAsia.

Sementara itu, bekas jurulatih teknikal, Aris Alang Mohamed, 58, berkata, dia bertugas di unit berkenaan selama empat tahun bermula pada tarikh ditubuhkan.

Katanya, antara bidang tugasan ketika itu ialah memastikan pelatih teknikal mematuhi tatacara penyelenggaran pesawat berkenaan.

“Setiap prosedur perlu difahami bagi memastikan lapan buah pesawat FA 18D Hornet berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa,” katanya.

Bagi bekas Pegawai Waran Kejuruteraan 1, Razali Ramli, 55, walaupun masih ‘hijau’ dalam aspek penyelenggaran ketika itu, semangat untuk berbakti dalam No. 18 Skuadron menyebabkan beliau dan rakan-rakan sentiasa memberi yang terbaik ketika melaksanakan tugasan.

“Kami faham betapa pentingnya pesawat berkenaan untuk melindungi ruang udara negara, jadi pada pihak teknikal dan penyelenggaran, masing-masing sudah faham tugas dan berusaha sebaik mungkin,” katanya.