Keadaan lebih menyulitkan Asisten Superintenden Mohd. Hasbullah Saidin bersama beberapa pegawai penyiasat trafik berikutan terpaksa mengambil masa lebih tiga jam untuk mencari kepala mangsa yang putus daripada badan akibat nahas tersebut.

Menurut Mohd. Hasbullah, 38, yang merupakan inspektor penyiasat kejadian terbabit, beliau terpaksa meminta bantuan daripada pihak forensik polis serta unit anjing pengesan (K9) untuk mencari ke mana perginya kepala mangsa.

“Memanglah saya biasa mengendalikan kes kemalangan maut. Tetapi kes ini ‘unik’ sebab kepala mangsa entah ke mana sebab badannya ada di kereta apatah lagi dengan keadaan gelap pada waktu malam menyukarkan lagi pencarian kepala mangsa.

“Selepas mendapat bantuan daripada K9, saya terkejut menemukan kepala mangsa yang jatuh bawah jambatan beberapa meter daripada lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui Mega Wira di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya itu, Mohd. Hasbullah yang kini menyandang jawatan sebagai ASP Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berkata, beliau sendiri mengangkat kepala mangsa untuk dimasukkan ke dalam beg plastik mayat sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tanpa berselindung, beliau mengakui gentar dan gerun ketika memegang kepala mangsa berlumuran darah apatah lagi tengkoraknya pecah dan otaknya hampir terkeluar.

“Tetapi itulah tugas yang terpaksa dihadapi pegawai penyiasat dan kita perlu laksanakannya dengan cara terhormat walaupun berlainan agama,” jelas beliau.

Menceritakan pula mengenai latar belakangnya, pegawai kelahiran Ipoh, Perak itu menyertai pasukan polis menerusi latihan asas inspektor pada tahun 2004 sebelum ditugaskan ke Bahagian Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebagai pegawai penyiasat selama dua tahun.

Beliau kemudiannya ditukarkan ke Unit Gerakan dan Pengiring Trafik di tempat yang sama pada 2008 sebelum memegang jawatan terkini sebagai ASP Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada tahun lalu sehinggalah kini.

Sepanjang beliau berkhidmat sebagai pasukan trafik di ibu negara, Mohd. Hasbullah turut berkongsi pengalamannya apabila diminta mengiringi dua bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton pada tahun 2007 dan Barack Obama 2015 dan 2016.

Ujarnya, pengalaman itu membenarkan beliau mempelajari gerak kerja bagaimana pasukan keselamatan dunia menjalankan tugasan bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa terjamin.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini kerana ia secara langsung memberikan gambaran dengan jelas cara dan kaedah menjalankan tugas bukan sekadar mengiringi pemimpin dunia tetapi cara pasukan keselamatan asing menjaga keselamatan seseorang.

“Bagi orang biasa, perkara ini selalunya dipandang mudah tetapi bagi kami sebagai pasukan keselamatan melihat ia sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul bagi memastikan pergerakan mereka bukan sekadar lancar malah keselamatan pemimpin terjamin,” jelasnya.