Namun, itulah pengorbanan besar yang dilakukan bekas Sub Inspektor, Hussien Saion, 62, demi melaksanakan tugas memerangi ancaman komunis bermula pada tahun 1975.

Walaupun telah tiga dekad berlalu, pengalaman mengikuti operasi khas bersama Pasukan F, Cawangan Khas Bukit Aman sentiasa segar pada fikirannya.

Menceritakan pengalaman itu, Hussien memberitahu, ketika berada dalam Pasukan F, pengganas komunis masih lagi aktif dan sudah pasti hutan menjadi lokasi persembunyian mereka.

“Saya masih ingat pada tahun 1983, saya bersama dua rakan ditugaskan untuk melakukan penyamaran di Kampung Kerling, Kuala Kubu Bahru, Selangor bagi mengesan laluan pengganas komunis yang dikatakan mula bertapak di situ.

“Operasi dinamakan Op Ular yang dijangka selama beberapa bulan itu berlarutan hampir setahun dan saya hanya pulang sekali sekala ke rumah,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalaman tersebut Hussein memberitahu, beliau dan dua rakannya terpaksa keluar masuk hutan setiap hari bagi memantau kehadiran komunis di situ.

Katanya, dia dan dua rakan setugas juga menyamar sebagai orang kampung yang bekerja mencari kayu dan memikat burung untuk mengawasi pergerakan komunis terbabit.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu. Manakan tidak, tanpa membawa sebarang senjata atau pengenalan diri kami perlu mengawasi setiap langkah anggota komunis,” jelasnya.

Hussien memberitahu, sepanjang 39 tahun 11 bulan menabur bakti dalam bidang kepolisan beliau banyak melakukan penyamaran terutama semasa menyertai Pasukan F bermula pada 1980.

“Oleh kerana terlalu kerap melakukan penyamaran, adakalanya keluarga sendiri pun tidak cam saya.

“Setiap kali terlibat operasi keluarga saya tidak tahu langsung apa yang saya lakukan tetapi mujur isteri saya, Jemilah Yem memahami tugas saya sebagai anggota polis,” kata anak kelahiran Tangkak, Johor itu. – MASZUREEN HADZMAN