Selama dua minggu melakukan penyamaran, bekas Asisten Superintenden, N. Subramanian berjaya mengumpul maklumat mengenai beberapa pengganas komunis yang berperanan sebagai mata-mata bagi memantau kehadiran pasukan keselamatan di kawasan tersebut.

Hasil daripada risikan itu juga, Subramanian turut mendapat maklumat mengenai pergerakan sekurang-kurangnya 20 pengganas komunis dari hutan di Pahang menuju ke Selangor dan dijangka mengadakan pertemuan di Behrang.

Berkongsi pengalamannya ketika itu, Subramanian memberitahu, tugasnya sebagai pemotong rumput memerlukannya sentiasa berwaspada memandangkan beliau perlu berhadapan dengan ‘musuh dalam selimut’.

“Di sana kita tidak tahu siapa musuh kita. Setiap hari saya bersama seorang lagi rakan perlu menaiki basikal untuk pergi memotong rumput sehinggalah pihak komunis menyedari kehadiran kami di situ.

“Bagi meyakinkan mereka, saya dan rakan terpaksa berpura-pura menjadi penduduk kampung yang bekerja sebagai pemotong rumput di kawasan itu.

“Tanpa membawa kad pengenalan diri dan juga senjata api, kami perlu mempertaruh nyawa dengan mengayuh basikal dari pekan Tanjung Malim setiap hari untuk terus berada dekat dengan pihak komunis sehingga mereka benar-benar percayakan kami,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Hasil operasi ini, Subramanian bersama pasukannya berjaya menangkap 23 pengganas komunis bersenjata melalui Operasi Taloong.

Mengimbau kembali pengalaman 36 tahun menabur bakti dalam bidang kepolisan, Subramanian memberitahu, pahit manis yang dilalui sepanjang bersama pasukan F begitu berharga dan beliau berasa seperti kehilangan sesuatu selepas memilih untuk bersara pada 2015.

Justeru, setiap kali menyingkap sejarah perkhidmatannya dalam pasukan polis, bapa kepada seorang anak ini akan bercerita dengan penuh bangga kerana baginya pengalaman itu tidak boleh dibeli dan ditukar ganti.

“Sejak kecil lagi saya bercita-cita mahu menjadi anggota polis. Semangat untuk berkhidmat demi negara tercinta sentiasa ada di dalam jiwa saya,” ujarnya.

Subramanian telah dianugerahkan Pingat Keberanian Yang Terbilang Selangor pada 1989 dan Anugerah Kesatria Pasukan Polis pada 1999.