Namun, sejak empat bulan ‘mengadaptasi' budaya, kepelbagaian kaum dan geopolitik keselamatan, Inspektor Mohd. Nor Iftikhar Makhtar, 27, nyata tidak gugup atau gentar untuk meneruskan tanggungjawab selaku pegawai Pasukan Polis Marin daerah itu.

Jelas pegawai muda itu, cakap-cakap negatif mengenai Semporna sebenarnya tidak benar sebaliknya daerah ini kaya dengan khazanah alam yang tiada tandingan selain dikelilingi masyarakat penyayang.

“Ini merupakan kali pertama saya ke Semporna. Apabila mendapat surat tawaran akan bertugas di sini, fikiran berkecamuk memikirkan tanggungjawab selain faktor keselamatan selepas insiden pencerobohan pengganas Kiram empat tahun lalu.

“Alhamdulillah apabila tiba di sini (empat bulan lalu) saya berasa selesa dan persepsi bahawa Semporna tidak selamat adalah hanya tanggapan negatif yang tidak berasas.

“Melihat kepada keunikan budaya dan keramahan masyarakat di daerah ini, saya berazam untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik," jelasnya bersungguh-sungguh.

Merupakan antara pegawai muda, beliau bijak mengatur strategi sesuai untuk menawan hati para anggota yang diselia termasuk mereka yang telah berusia dan lama ‘makan garam’ dalam lapangan penugasan polis marin.

Tambah Mohd. Nor Iftikhar yang lebih selesa dikenali sebagai Matnor, pengalaman dan pandangan ‘orang lama' tidak pernah diketepikan sebaliknya dinilai sebaik mungkin ketika proses adaptasi persekitaran berlangsung.

“Sebagai seorang pegawai, saya tidak pernah menganggap pangkat itu sebagai ukuran sebaliknya bergaul bersama-sama dengan anggota di bawah.

“Saya cari titik persamaan agar tiada jurang antara kami untuk melaksanakan tugas tetapi ketegasan perlu ada,” demikian ujar anak jati Johor Bahru itu.

Memilih kerjaya sebagai pegawai polis disifatkan takdir ketentuan Ilahi apabila beliau pernah kecundang dalam bidang teknologi maklumat (IT) selepas syarikat tempatnya bekerja terpaksa gulung tikar akibat mengalami masalah kewangan.

Jelas anak kedua dari empat beradik itu lagi, keinginan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) timbul selepas beliau tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi ditegah oleh ibu bapanya yang mahu beliau terus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Akur dengan saranan ibu bapa tersayang, beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan IT di Politeknik Sultan Idris Saha, Sabak Bernam sebelum meneruskan pengajian pada peringkat ijazah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

“Minat menjadi polis ini lahir apabila melihat kedua-dua ibu bapa saya segak berpakaian seragam polis ketika hendak bekerja. Selain itu, saya nampak tanggungjawab sebagai pegawai polis menjaga keselamatan awam adalah tugas murni.

“Ketika saya mendapat surat tawaran, ibu dan ayah ada memberi nasihat supaya bersikap rendah diri, bijak menyesuaikan persekitaran serta bersikap adil dan jujur,” katanya.

Ditanya bagaimana perasaan menyambut perayaan Aidilfitri jauh dari keluarga tersayang, Matnor jelas merindui suasana hari raya apabila peluang untuk merupakan detik terbaik untuk merapatkan silaturahim semasa keluarga.

“Bergurau senda bersama adik beradik selain berjabat dan mencium tangan kedua-dua ibu bapa jelas sesuatu detik yang saya rindukan. Namun, atas rasa tanggungjawab, ini merupakan pengorbanan kecil saya kepada negara,” ujarnya yang menggunakan panggilan video untuk melepaskan rindu pada pagi raya.