Demi membawa nama negara tercinta di luar negara, sekumpulan pasukan doktor Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) dari Malaysia sentiasa menabur jasa dalam membantu proses rehabilitasi di negara Arab yang terkesan dengan pergolakan dahsyat itu.

Sejak kehadiran Malbatt di bumi Lebanon, penerimaan penduduk setempat terhadap rakyat Malaysia adalah pada tahap yang tertinggi, hasil titik peluh dan usaha yang telah dijalankan oleh petugas-petugas pengaman dari Malaysia yang lalu.

Petugas-petugas pengaman negara telah memainkan peranan yang hebat bagi mencapai tahap itu, bukan sahaja disebabkan oleh Malaysia dan Lebanon berkongsi agama yang sama iaitu majoriti adalah beragama Islam, namun langkah-langkah yang efisien serta efektif seperti program Civilian-Military Coordination (Cimic) yang telah dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan UNIFIL.

Cimic menjadi pendekatan paling berkesan yang telah dijalankan dengan menggunakan pendekatan turun ke padang dan mendekati hati rakyat setempat.

Program Cimic merupakan sebahagian daripada Projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merangkumi tanggungjawab membina keupayaan, keyakinan dan mengeratkan hubungan antara anggota Malbatt dengan penduduk setempat.

Malah lima elemen penting yang ditekankan dalam program Cimic iaitu penerimaan masyarakat tempatan, kos yang efektif, kaedah mendekati, memenangi hati serta minda penduduk tempatan dan menjaga imej organisasi diaplikasikan pasukan tersebut dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Bagi Pegawai Perubatan Elemen KKD, Kapten Dr. Nur Shazana Ahmad Mazni, berdepan pelbagai kerenah pesakit ketika bertugas bukan halangan untuk dirinya dan beberapa lagi anak buahnya untuk ‘merajuk’ sepanjang bertugas ke bumi bertuah itu.

Berpengalaman menyelamatkan nyawa pesakit memberi kepuasan kepada dirinya dan pasukan walaupun mereka berlainan keturunan, namun atas dasar tugas dan menyintai kerjaya yang dipilih, ia memberi satu kepuasan melihat pesakit kembali ceria selepas bertemunya semula.

Katanya, sebagai pakar perubatan, beliau sentiasa berada dalam mod siap siaga jika berlaku kes-kes kecemasan, bahkan pernah berlaku dia memindahkan pesakit kritikal sewaktu habis tugas dan sedang berehat.

Katanya, sepanjang bertugas di perantauan, banyak pengalaman pahit yang dilalui dan menerima ucapan terima kasih daripada pesakit adalah pengalaman manis buatnya.

“Ucapan terima kasih itu mempunyai kuasa dan gelombang yang cukup luar biasa, saya rasa puas dan gembira dengan apa yang saya lakukan walaupun doktor di sini kadang-kadang berdepan masalah kesukaran komunikasi dengan pesakit,” katanya.

 

Cabaran bertugas

Tambah Dr. Nur Shazana bertugas di perantauan walaupun bilangan pesakit tidak seramai pesakit di negara sendiri, mereka tetap berdapan cabaran tersendiri termasuk kesukaran komunikasi, perbezaan jenis ubat, kelengkapan kemudahan di lokasi berbeza, bentuk muka bumi yang mencabar, kekurangan stok ubat-ubatan terutama ubat pediatrik dan penyakit non-communicable diseases.

“Walaupun terdapat cabaran serta kekurangan yang dihadapi, pasukan pegawai dan anggota Elemen Perubatan Malbatt 850-5 tetap mempamerkan mutu kerja yang berkualiti serta menunjukkan prestasi yang sentiasa cemerlang,” ujarnya.

Tambahnya, sejak mengambil alih tugas pada September 2017, elemen perubatan telah menerima seramai 989 orang pesakit melalui Program Dalaman Penjagaan Kesihatan Gigi manakala bagi Program Luaran Penjagaan Kesihatan Gigi, seramai 669 orang pesakit awam menerima rawatan meliputi 11 aktiviti yang dijalankan di kawasan sekitar .

“Melalui program tersebut, kita telah merancang dengan teliti dan terperinci bersama Sel Cimic 850-5 bagi merealisasikan objektif utama progam ini untuk memperkukuh kepercayaan komuniti yang berada bawah kawasan tanggungjawab (KTJ) Malbatt.

“Elemen Perubatan Malbatt 850-5 adalah salah satu elemen penting yang menjadi tulang belakang bagi mendokong hasrat pemerintahan atasan bukan sahaja menjaga kesiapsiagaan anggota Malbatt 850-5 dari sudut perubatan dan pergigian, malahan merupakan peranan utama dalam aktiviti Penjagaan Kesihatan Gigi,” katanya.

Program perkhidmatan perubatan dan pergigian yang diberikan secara percuma kepada komuniti dalam KTJ Malbatt itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Dalaman dan Luaran.

Katanya, Program Dalaman adalah di mana pesakit-pesakit awam yang memerlukan rawatan perubatan dan pergigian akan menerima rawatan di Hospital Tahap 1 UNP 2-1 di Kem Marakah dan UNP 6-43 di Kem Tibnin manakala Program Luaran melibatkan pasukan perubatan bersama pasukan pergigian untuk diaturgerakkan ke kawasan yang lebih terpencil serta jauh dengan menawarkan perkhidmatan yang sama.

Selain bantuan berbentuk rawatan, bantuan-bantuan seperti ceramah kesihatan dan pergigian, pemberian ubat-ubatan, alat pakai habis, set lengkap pergigian juga telah disediakan.