Kapal-kapal tersebut kemudiannya bergerak dan berhubung antara satu sama lain untuk mengekang ‘ancaman’ dan ‘sasaran’ yang telah dikenal pasti.

Itulah gambaran senario yang mungkin dihadapi kapal perang dalam mempertahan kedaulatan negara menerusi kerjasama menangani ancaman yang diterjemah menerusi LIMA Sea Eksesais 2017 (LSX17).

Menurut Timbalan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Abu Bakar Md. Ajis, eksesais tersebut pertama kali diadakan sempena Pertunjukan Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA’17)

“Eksesais bermula dengan ‘Departure Screen’, diikuti ‘PHOTEX’ dan terakhir adalah ‘OOW Manouevre’. Kita turut mengadakan latihan ‘Maritime Interdiction Operation’ (Miops) iaitu operasi menahan kapal yang disyaki melakukan kesalahan melalui kerjasama keselamatan maritim membabitkan pelbagai negara.

“Ini kerana kita tahu ada negara yang tidak mempunyai keupayaan secara menyeluruh daripada aspek aset, prosedur atau undang-undang.

“Di samping itu, eksesasis ini adalah satu diplomasi pertahanan yang dipanggil sebagai ‘Confidence Building Measure’. Bila kerjasama dan kepercayaan semakin baik, maka bantuan daripada pelbagai aspek mudah diperoleh kerana masing-masing mempunyai doktrin pertahanan sendiri,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega Wira semasa melaksanakan LSX17 di Kapal Diraja (KD) Jebat baru-baru ini.

Sebanyak 12 kapal TLDM dan 15 kapal tentera laut negara luar terlibat dalam eksesais itu antaranya KD Perdana, KD Laksamana Tun Abdul Jamil dan KD Jebat.

Jelas Abu Bakar lagi, TLDM akan mempertingkat siri latihan tersebut dari semasa ke semasa bagi manfaat kepada kapal-kapal yang hadir sempena LIMA’17

“Ada negara yang tidak mempunyai perjanjian diplomasi dengan TLDM. Jadi dengan adanya eksesais ini kita mahu wujudkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama.

“Bila berlaku insiden, ia mudah untuk kita bertindak. Sebab itu ada negara jauh yang tidak pernah hadir turut serta dalam latihan ini kerana kita tahu dengan manfaat yang diperoleh.

“Kita turut meminta maklum balas daripada tentera laut negara lain untuk menambah baik tempo latihan kerana percaya kerjasama dan hubungan bukan setakat pada LIMA’17 sahaja. Kita mahu ia berterusan pada masa akan datang,” ujarnya

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, beberapa penambahan turut dilakukan termasuk ‘Fleet Reception’ iaitu majlis makan malam bersama pegawai pemerintah kapal yang terlibat dalam eksesais itu.

Menurutnya, ia merupakan penghargaan terhadap penyertaan kapal yang menyertai LIMA’17, di samping platform untuk bertukar pandangan dalam pelbagai isu membabitkan hal keselamatan maritim.

Bagi Pegawai Mememrintah KD Jebat, Komander Abd Halim Kamarudin berkata, ini merupakan kali kedua penyertaan KD Jebat dalam eksesais seumpama itu yang membentuk gabungan bersama dengan kapal TLDM lain.

“ Kita mahu wujudkan satu bentuk persefahaman di laut dengan kapal lain dan juga sesama krew sendiri.

“Ia penting demi mempertingkat tahap kesiapsiagaan warga kapal menghadapi ancaman,” katanya. - Gambar MOHAMAD HAFIZ 
YUSOFF BAKRI