Sambutan yang diterima sangat menggalakkan setiap kali diadakan sama ada daripada pengunjung atau syarikat pertahanan pelbagai negara.

Sekurang-kurangnya 80 pesawat udara dan 68 buah kapal perang dan bot dari seluruh dunia juga akan berada di Langkawi sepanjang lima hari pameran itu berlangsung.

Selain pameran statik, pertunjukan udara juga akan diadakan dengan melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa pasukan aerobatik dari negara lain.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, bagi segmen maritim, sebanyak 14 Panglima Tentera Laut dan 24 wakil Panglima Tentera Laut dari pelbagai negara telah mengesahkan kehadiran setakat ini.

“Ini satu peluang untuk menyaksikan pameran bertaraf antarabangsa dan platform perbincangan serta pertemuan pegawai kanan tentera, pemimpin dan syarikat.

“Kita turut mengadakan satu persidangan bagi memberi peluang mengetengahkan isu-isu semasa dalam LIMA ‘17 nanti.

“Selain itu, pengunjung berpeluang melihat alatan dan teknologi canggih dipamerkan termasuklah pesawat tanpa pemandu (UAV) , kenderaan dalam air (AUV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV), di samping demonstrasi Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Jelasnya lagi, setakat ini, semua ruang pameran telah ditempah dan secara tidak langsung menunjukkan peningkatan serta keyakinan syarikat walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, Rakan Maritim (Rakam) dan aplikasi Keselamatan, Kesedaran dan Komuniti Maritim (K3M) turut dilancarkan pada LIMA 17 nanti.

“Ia menjadi platform antara TLDM dan Maritim Malaysia merapatkan hubungan dengan masyarakat lebih-lebih lagi nelayan bagi menangkis sebarang ancaman bawah Rakam untuk mendekati komuniti maritim dengan lebih meluas.

“Apa yang pasti kita dan Maritim Malaysia serius dan telah menerima maklum balas yang baik. Kita mahu aplikasi ini dimanfaatkan terutama kepada golongan nelayan dan pengusaha pelancongan dalam usaha membantu mereka berdepan sebarang ancaman di laut,” katanya.

Aplikasi K3M yang dibangunkan dengan kos RM38,000 secara kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan jabatan dan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Laut, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Kamarulzaman berkata, program 15 to 5 iaitu program penyusunan semula aset daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kini berjalan lancar.

“Kapal tugas khas pesisir pantai (LMS) dan kapal tempur pesisir pantai (LCS) dalam senarai aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan langkah praktikal dan realistik untuk pengendalian kos yang efektif. Ia dibeli ikut keperluan dan kemampuan negara.

“Begitu juga dengan Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) yang merupakan salah satu daripada lima kelas dalam konsep ‘15 to 5’.

“Buat masa ini perbincangan dan spesifikasi ada tetapi belum diputuskan,” ujarnya.