Malah, setiap ilmu dan latihan yang perlu diikuti oleh anggota unit tersebut bukan sahaja demi keberkesanan dalam melaksanakan setiap misi, tetapi turut diterapkan dalam aspek peningkatan sukan.

Bagi atlet maraton negara yang juga anggota GGK, Staf Sarjan Mohaizar Mohamad 33, modul kursus asas komando yang diikutinya pada tahun 2011 berjaya membentuk fizikal dan pemikirannya supaya menjadi lebih kental.

Beliau yang bermula dengan menceburi sukan olahraga pada tahun 2005 dalam acara trek menyifatkan latihan keras selama lebih tiga bulan sebelum layak memakai beret hijau dan lanyard biru mengajar erti ketabahan dan kejayaan dalam sesuatu bidang.

“Anggota GGK sudah dilatih dengan latihan keras. Pelatih ‘basic’ akan diberi dengan tugasan yang sukar dilaksanakan sehingga melangkaui batas manusia biasa. Sewaktu saya mengikuti kursus asas dahulu, paling ramai yang lulus pun hanyalah 49 orang. Segalanya dibuat ada sebab, bukan hanya untuk mendera.

“Jadi apa yang dilatih dalam komando saya gunakan sebagai salah satu asas dalam maraton supaya dapat mengecapi kejayaan, lebih-lebih lagi sukan ini memerlukan semangat dan daya ketahanan mental yang kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mohaizar yang berkhidmat di Rejimen 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka kini giat menjalani latihan di Pusat Cemerlang Olahraga, Kem Sungai Besi.

Beliau merupakan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA dengan catatan masa dua jam 31 minit dan 52 saat, di depan rakan sepasukan Tan Huong Leong, yang menduduki tangga keempat dalam kejohanan tersebut.

Dalam temasya itu juga, Mohaizar berjaya memecah penantian Malaysia selama 44 tahun berikutan ketiadaan pelari negara yang menaiki podium bagi acara maraton dalam Sukan SEA.

Sementara itu, Mohaizar yang pernah berkhidmat dalam Kor Ordnans Diraja (KOD) pada mulanya merupakan salah seorang atlet olahraga dan triatlon Tentera Darat.

“Saya dipanggil untuk menjalani latihan di Pusat Cemerlang Sukan Lasak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi acara triatlon. Selepas itu saya masuk maraton.

“Pada masa itu, niat hanya mahu mencuba sahaja. Acara pertama dalam maraton yang saya sertai di Pulau Pinang dan menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2 jam 49 minit seterusnya memutuskan untuk terus serius dalam sukan ini,” katanya yang kini sibuk menjalani latihan persiapan menghadapi kejohanan Maraton Antarabangsa Standard Chartered dengan diuruskan syarikat Dirigo Events.

Dalam pada itu, Mohaizar turut menyertai acara maraton di Tokyo baru-baru ini dengan tajaan syarikat pengeluar barangan sukan Asics dan berjaya mencatatkan masa dua jam 27 minit dan 21 saat bersama dua rakannya, Leo Tan dan Nik Fakaruddin

Menurutnya, penyertaan tersebut merupakan kali pertama pertandingan luar negara yang disertainya dan berjaya mencatat rekod peribadi terbaik buat dirinya.

Mohaizar turut menceritakan salah satu pengalamannya sewaktu mengikuti kursus asas komando, beliau melihat rakan sepelatihnya jatuh sehingga tersembam menyebabkan mukanya cedera teruk.

“Ketika itu kami perlu berjalan lasak sehingga ada kalanya mencecah ratusan kilometer sehari. Mungkin dia terlalu penat sehingga badannya tidak dapat menerima latihan tersebut,” ujarnya.