Ketua Seksyen Pengurusan Operasi, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Jamil Saadon berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2011 sehingga kini, jabatan itu mempunyai seramai 365 pegawai dan anggota seluruh negara.

Beliau berkata, Storm merupakan pasukan khas dalam JPBM dan pemilihan keanggotaannya perlu melepasi beberapa kriteria ditetapkan seperti mempunyai tahap kecergasan fizikal yang baik, berdisiplin dan mampu berhadapan dengan apa juga situasi bencana.

“Setakat ini hanya enam negeri, iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Sabah dan Sarawak yang mempunyai anggota dan pegawai melebihi 30 orang.

“Justeru, kita menyasarkan untuk meningkatkan bilangan anggota pasukan itu termasuk di negeri-negeri lain dari semasa ke semasa agar dapat memantapkan lagi perkhidmatan Storm dan JPBM khususnya,” kata­nya selepas menutup Kursus Survival Storm siri 1/2017 di Jabatan Laut Wilayah Selatan, di sini hari ini.

Seramai 35 anggota Storm dari seluruh negara menyertai kursus tersebut yang diadakan di Hutan Gunung Pulai, Kulai dan Hutan Paya Bakau Kukup, Pontian selama 10 hari bermula 26 Mac lalu.

Jamil berkata, tugas anggota pasukan khas itu bukan hanya terbatas dalam operasi SAR malah diperluaskan merangkumi operasi bencana seperti gempa bumi, banjir lumpur serta mencari orang hilang di hutan dan laut.

“Menyedari peranan yang sema­kin mencabar, maka wajar bilangan keanggotaannya terus ditambah pada masa akan datang seiring dengan pe­ranannya yang kian meningkat.

“Kita juga merancang untuk memberikan latihan asas Storm kepada pegawai kanan JBPM di setiap negeri supaya mereka menjadi penasihat bagi pasukan itu ketika berlakunya bencana,” ujarnya.