Pegawai Bomba Kanan II, Suhaimi Abdul Shukor terjaga daripada tidur dan terus memeriksa enam lagi anggota yang bertugas bersamanya.

Ketika itu, suasana di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat sunyi sepi dan sejak mula bertugas pada pukul 8 malam, mereka masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan.

Bagaimanapun, tepat pukul 5.41 pagi, Suhaimi, 55, dan enam anak buahnya, Mohd. Osman Aziz, Mohd. Noorhafiz Shafi’i, Mohd. Faiz Mohd. Anuar, Rahim Mohd. Rashid, Hazman Hassan dan Hafizullah Md. Nor dikejutkan dengan bunyi siren menandakan terdapat panggilan kecemasan yang disalurkan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur.

Mereka dimaklumkan berlaku kebakaran bangunan di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung yang terletak tidak jauh dari balai bomba tersebut.

Tiada seorang pun yang menyangka mereka bakal berdepan dengan satu tragedi kebakaran yang menggemparkan negara kerana melibatkan kematian 21 pelajar tahfiz dan dua guru.

Suhaimi dan enam anak buahnya bergegas menaiki jentera dan bersiap sedia memakai sut kalis api sebelum tiba di lokasi kejadian, tiga minit kemudian.

“Semasa dalam perjalanan, kami tidak tahu sama ada kebakaran itu serius dan melibatkan mangsa atau tidak. Apabila tiba di hadapan bangunan tahfiz, saya lihat api di tingkat tiga sudah marak dan kawasan yang terbakar boleh dikatakan hampir 85 peratus musnah.

“Keadaan ketika itu sangat kelam kabut dan orang awam yang berada di sana memberitahu masih ada mangsa terperangkap di dalam bangunan dan menggesa kami menyelamatkan mereka,” ujar anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu.

Menurut Suhaimi, mereka terus bersiap sedia untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan dan ketika itu, dia ternampak seorang lelaki cuba menyelamatkan diri dengan berpaut pada besi di bahagian kanan bangunan.

Ujarnya, sebagai ketua pasukan, beliau mengarahkan anggotanya untuk mengambil tangga dari jentera mereka bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

“Ketika itu anggota saya, Mohd. Osman menaiki tangga untuk menyelamatkan mangsa dan saya terkejut rupa-rupanya lelaki tersebut mengendong seorang bayi perempuan. Mohd. Osman kemudian membawa turun bayi berkenaan dan lelaki itu mengikutnya dari belakang.

“Kemudian, kami menyelamatkan tiga lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan yang terperangkap di bilik warden tingkat tiga. Selepas itu, saya dan anggota masuk ke kawasan punca kebakaran utama iaitu dorm pelajar tahfiz dan memulakan proses memadam kebakaran,” katanya.

Suhaimi memberitahu, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.45 pagi namun mereka masih tidak mengetahui bilangan mangsa yang terkorban di dalam dorm kerana keadaan pada ketika itu masih gelap dan asap tebal membataskan penglihatan mereka.

“Kami tidak dapat memastikan bilangan keseluruhan mangsa yang terkorban kerana mayat mereka yang berada di penjuru kiri dan kanan bilik bertindih di antara satu sama lain.

“Kami menunggu pihak forensik bomba dan polis tiba untuk membawa keluar mayat-mayat sebelum akhirnya disahkan sebanyak 23 mangsa terkorban dalam kejadian itu.

“Perasaan saya pada ketika itu memang sukar untuk digambarkan. Saya sudah berdepan dengan banyak kebakaran yang lebih besar daripada ini seperti kebakaran kilang, kedai perabot dan sebagainya namun belum pernah lagi membabitkan kehilangan nyawa yang begitu banyak seperti ini,” ujarnya yang telah 30 tahun berkhidmat sebagai pegawai bomba.

Suhaimi mengakui, sepanjang kariernya dalam pasukan bomba yang telah melebihi tiga dekad, kes ini adalah yang paling diingati kerana beliau sebagai ketua pasukan yang pertama tiba di lokasi kejadian.

“Sebagai ketua pasukan yang paling awal tiba di lokasi, saya memikul tanggungjawab besar dalam operasi menyelamatkan mangsa. Tidak dinafikan saya masih terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan anak-anak tahfiz tersebut.

“Kebanyakan mangsa merupakan anak-anak tahfiz yang masih muda dan saya sebagai seorang bapa merasa sedih dengan kehilangan mereka.

“Inilah salah satu cabaran sebagai seorang pegawai bomba, kita berkhidmat untuk masyarakat dan perlu kuatkan semangat walau apa pun terjadi semasa berlaku kecemasan,” kata bapa kepada lima cahaya mata itu.