Ketika orang lain masih lena dibuai mimpi, Zulkifflin Hussain dan kira-kira 10 lagi anggota Pasukan F, Cawangan Khas Bukit Aman serta Komando 69 menyusup di celah-celah belukar dan mempersiap kawasan serang hendap sementara menunggu kedatangan pengganas komunis di laluan itu.

Mereka sebelum itu memasuki hutan merentasi kawasan Serendah, Selangor dan berjalan selama dua hari sebelum sampai ke lokasi ditetapkan sebagai satu strategi supaya pergerakan mereka tidak diketahui musuh.

Operasi Pancing itu digerakkan selepas Pasukan F mendapat maklumat daripada orang awam bahawa sekumpulan pengganas komunis telah menetapkan pertemuan dengan pembalak untuk memeras wang daripada mereka di Templer Park, Rawang.

Menurut Zulkifflin yang mengetuai operasi tersebut, kira-kira pukul 11 pagi, kelihatan tiga pengganas komunis berjalan keluar dari hutan dan menghampiri kawasan serang hendap di puncak bukit.

“Kami yang ketika itu telah bersedia dengan senjata api kemudian terus melepaskan tembakan yang berjaya membunuh District Committee Member (DCM) Ah Keong iaitu Ketua Pasukan Kerja Bersenjata Ke-1, manakala dua lagi pengganas komunis melarikan diri ke dalam hutan.

“Kejayaan itu boleh dianggap besar kerana Ah Keong adalah antara ketua pergerakan bawah tanah yang aktif dalam menggerakkan ideologi komunis. Dia adalah merupakan antara pengganas komunis terakhir yang ditembak mati sebelum Op Taloong dilancarkan,” katanya kepada Mega Wira baru-baru ini.

Anak lelaki tunggal daripada sembilan beradik itu berkata, hasil daripada operasi itu juga, pasukannya berjaya merampas selaras senjata serta beberapa peralatan dan dokumen penting yang memberikan lebih banyak maklumat mengenai kumpulan pengganas komunis ketika itu.

Bekas Deputi Superintenden yang kini berusia 63 tahun itu berkata, dalam situasi mencemaskan itu, berlaku satu kejadian lucu kerana rupa-rupanya terdapat petugas dari Jabatan Perhutanan berada di sekitar lokasi serang hendap tersebut dan tidak sedar Pasukan F sedang menjalankan operasi.

“Ketika saya sedang memeriksa mayat Ah Keong yang telah ditembak mati, tiba-tiba saya terdengar suara ‘Jangan tembak! Kami orang Forest!’ Apabila saya menoleh ke arah laungan tersebut, saya lihat ada dua lelaki di sebalik pokok dengan kepala serta baju salah seorang daripada mereka dipenuhi ‘darah’ merah.

“Saya mula risau kerana menyangka petugas Jabatan Perhutanan itu terkena peluru sesat semasa kami menjalankan operasi, namun mereka rupa-rupanya mereka ditugaskan menanda cat merah pada pokok di hutan itu dan akibat terkejut dengan bunyi tembakan, tin cat terjatuh mengakibatkan petugas itu dibasahi cat merah,” jelasnya sambil ketawa.

Mengimbau kembali sejarah penglibatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Zulkifflin berkata, beliau diterima masuk sebagai Inspektor Percubaan pada tahun 1973, ketika umurnya baru mencecah 18 tahun. Seterusnya, beliau secara sukarela menyertai Pasukan Polis Hutan (PPH) yang kini dikenali dengan nama Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkalan di Batalion ke-9, Kem Bakri, Muar, Johor. Jelasnya, ketika itulah beliau mendapat pengalaman pertama bertempur dengan pengganas komunis.

“Malam itu saya bersama kira-kira 30 rakan lain berada di pangkalan yang terletak di Betong, Thailand, tidak jauh dari sempadan Malaysia dan ketika menginjak pukul 9 malam, berlaku pertempuran antara pihak komunis dan tentera tidak jauh dari kem kami.

“Ketika itu saya menjangkakan mereka akan ‘withdraw’ mengikut laluan kami dan ternyata jangkaan saya benar. Tidak lama kemudian, kelihatan kelibat musuh melalui kawasan kami dan berlaku tembak menembak sehingga mereka mengundurkan diri,” ujarnya.

“Saya tidak gentar dan takut, malah saya mahu lagi (terlibat dalam pertempuran dengan komunis). Selepas pertempuran itu, pada tahun 1986, saya diserapkan ke Pasukan F Cawangan Khas Bukit Aman yang merupakan kumpulan pakar dalam menjejaki dan mengembangkan maklumat bagi menawan pengganas komunis.

“Berkhidmat dalam sektor seperti itulah yang saya idam-idamkan sejak saya remaja lagi,” katanya.