Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kenangan tumpaskan 
Geng Bagong

Arifai Tarawe 4
Arifai Tarawe

MASIH segar di ingatan Superintenden Arifai Tarawe, 43, kejadian 10 tahun lalu yang mendatangkan kegusaran bukan sahaja kepada para pegawai dan anggota polis di daerahnya bertugas, malah seluruh penduduk sekitar Johor.

Arifai yang kini merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields dengan pangkat Superintenden menceritakan detik cemas ketika mengetuai pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Pontian dalam usaha memburu kumpulan penjenayah paling dikehendaki di Johor ketika itu, Geng Bagong.

Menurutnya, kumpulan penjenayah dari Indonesia tersebut aktif melakukan samun dan pecah rumah di sekitar negeri itu pada 2007.

“Ketika itu, kumpulan berkenaan memeningkan kepala kami kerana banyak kes samun yang melibatkan mereka, dan apa yang lebih memeningkan lagi adalah kami percaya mereka menggunakan ilmu hitam untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada Mega Wira ketika ditemui baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, Arifai berkata, di setiap rumah yang dipecah masuk, kumpulan itu akan menyusun bata, makan di dapur dan membuang air besar sebelum meninggalkan tempat terbabit sebagai amalan bagi melancarkan ‘kerja’ mereka.

“Mereka akan masuk dalam rumah mangsa tanpa disedari dan kemudian masuk ke bilik penghuninya sebelum mengikat kaki dan tangan mereka malah ada juga yang dicederakan.

“Selama sebulan saya dan pasukan menjejak setiap bukti yang ditinggalkan mereka sehinggalah kami menerima maklumat terperinci mengenai salah seorang ahli kumpulan tersebut sebelum melakukan intipan selama seminggu terhadapnya,” ujarnya.

Tambahnya, hasil daripada risikan tersebut, empat lelaki dan dua wanita berjaya ditahan, sekali gus menyelesaikan 20 kes samun dalam daerah Pontian dan berpuluh-puluh kes lagi di daerah-daerah lain sekitar Johor.

Mengulas mengenai khidmatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau yang berasal dari Tawau, Sabah menjalani latihan Kadet Inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada tahun 1994 sebelum ditugaskan di Cawangan Khas Bukit Aman selama lapan tahun.

Katanya lagi, pada awal perkhidmatannya sebagai pegawai polis, yang paling mencabar adalah saat perlu berjauhan dengan keluarga.

Beliau yang dikurniakan enam orang anak hasil perkahwinan dengan Guslinda Abd. Majid, 41, memberitahu, pernah tidak pulang ke rumah ketika bertugas di Cawangan Khas, bagaimanapun, sedikit demi sedikit isteri dan anak-anak mula faham dan menerima bahawa itu merupakan tanggungjawabnya terhadap negara dan masyarakat.

“Itu adalah cabaran dahulu, sekarang cabarannya adalah persepsi orang awam yang memandang serong kepada kami hanya kerana setitik nila.

“Mengikut statistik, kurang satu peratus daripada 100,000 kakitangan PDRM yang didapati terlibat kes-kes rasuah dan salah guna kuasa, tapi orang awam telah diberikan gambaran dan maklumat yang salah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan kredibiliti organisasi ini sebagai pasukan keselamatan negara,” jelasnya.

Arifai turut berkata, tujuannya untuk menganggotai PDRM sejak awal dahulu hanyalah satu, iaitu untuk menjaga keamanan negara demi memastikan penduduk termasuk ahli keluarganya sendiri dapat hidup bebas tanpa ancaman penjenayah.

“Saya akan terus berpegang pada tujuan itu supaya dapat terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang yang boleh dijadikan ikutan oleh pegawai dan anggota muda,” katanya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan