Dengan cogan kata ‘Khidmat Diutamakan’, pegawai dan kakitangan perubatan Kor Kesihatan Diraja (KKD) telah membuktikan mampu memberikan segala yang terbaik bukan sekadar di medan tempur, tetapi kepada masyarakat umum.

Jika sebelum ini rata-rata masyarakat menggambarkan kehidupan tentera hanyalah di perbatasan, peristiwa kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada Oktober tahun lalu membuktikan sebaliknya.

Kebakaran tersebut menyebabkan operasi pembedahan pesakit di HSA terjejas dan bantuan yang dihulurkan KKD berjaya mengawal situasi panik ketika itu malah menyelamatkan pesakit yang memerlukan rawatan segera.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan KKD, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Abdul Razak Md. Yusoff, sewaktu insiden itu, pihaknya telah menghantar Modul Dewan Bedah serta menempatkan hampir 20 pegawai dan anggota dalam satu-satu masa semasa peristiwa tersebut.

“Kita berada di sana lebih 70 hari untuk memastikan pesakit mendapat rawatan sepatutnya, malah, sepanjang berada di sana kami berjaya melakukan sebanyak 266 pembedahan.

“Dengan adanya pengalaman kami dan kerjasama daripada Kementerian Kesihatan, KKD mampu membuktikan dengan semangat kerjasama dan kepakaran yang ada, segalanya mampu dilaksanakan,” katanya ketika di temui Mega Wira baru-baru ini.

Menurutnya, yang pasti ia bukan sekadar bantuan tetapi banyak pengalaman dan pertukaran kepakaran dilakukan bersama pihak Kementerian Kesihatan.

“Kita telah tunjukkan semua prosedur yang diguna pakai KKD dan mereka mempelajari bagaimana untuk mengadaptasikan perubatan medan dalam keadaan bawah tekanan,” ujarnya.

KKD laksana perubatan medan dalam pelbagai situasi

KKD yang ditubuhkan pada 11 Mei 1967 dengan dikenali sebagai Kor Ubatan dan Gigian (KUG) kini semakin berkembang dengan mempunyai lima set Modul Dewan Bedah untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk apa jua operasi dan misi kemanusiaan dalam menghadapi banjir.

Modul itu pernah digunakan dalam beberapa misi termasuk misi bantuan mangsa tsunami di Acheh, Somalia dan Namibia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan KKD, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Abdul Razak Md. Yusoff berkata, anggota KKD juga boleh diatur gerak pada bila-bila masa dalam sebarang bentuk misi termasuk merawat sebanyak 50 pesakit dalam satu-satu masa.

“Sewaktu di Hospital Sultanah Aminah, ramai doktor dan jururawat terkejut dengan cara kami bekerja. Ada yang bertanya tentang cara kami bekerja dengan hanya ketinggian siling di bawah lapan kaki, sedangkan dewan bedah sepatutnya mempunyai ketinggian siling lebih 4.2 meter.

“Jadi, apabila melihat cara kami bekerja, lama kelamaan, mereka boleh terima dan kita menjadi contoh, lebih-lebih lagi melihat ada anggota yang berjaga dan tidur berhampiran modul tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, pihaknya akan memastikan setiap pegawai dan anggota KKD mempertingkat ilmu dan kepakaran perubatan medan dari semasa ke semasa supaya dapat beroperasi dalam pelbagai situasi dan keadaan,

“Kita memang tekankan latihan lebih-lebih lagi mereka perlu bekerja bawah tekanan.

“Setiap tahun dua siri latihan akan diadakan iaitu pada bulan Mac dan September,” katanya.

Latihan itu katanya, penting lebih-lebih lagi untuk menghadapai peperangan dan ancaman yang datang dalam pelbagai dimensi termasuk serangan bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE).