Inisiatif tersebut jelas membuktikan kerajaan menghargai jasa perwira negara apabila memperkenal pelbagai kemudahan baharu termasuk Bantuan Bakti Negara (BBN) bagi veteran ATM yang tidak berpencen, penambahbaikan Skim Perkhidmatan ATM yang dinamakan Skim Anuiti Veteran (Save) serta penambahbaikan Skim Pencen Hilang Upaya 
untuk Veteran ATM dan bekas anggota Wataniah sepenuh 
masa yang berkhidmat 
kurang daripada 10 tahun serta tidak menerima pencen perkhidmatan.

Najib turut mengumumkan insentif Veteran Kelainan Upaya bagi melindungi veteran yang mengalami kelainan upaya selepas bersara dan mereka bakal menerima penambahan bantuan daripada RM500 kepada RM1,000 setahun melalui dana yang diperoleh hasil daripada kutipan Tabung Pahlawan.

Turut diumumkan penambahan kuota untuk veteran ATM mengerjakan haji ditambah kepada 400 orang tahun ini berbanding 100 pada tahun sebelumnya.

Tabung Pahlawan turut menerima impak apabila kerajaan bersedia menyalurkan RM5 juta untuk mengisi tabung tersebut sebagai tanda menghargai jasa anggota ATM yang banyak berkorban mempertahan 
negara.

Pengumuman itu turut mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein malah beliau memberitahu kerajaan bakal mengumumkan beberapa inisiatif lain kepada veteran dalam masa terdekat.

Ia termasuk inisiatif berkaitan perumahan, perubatan, pendidikan serta latihan.