Sepasukan pegawai polis termasuk daripada Pasukan F, Cawangan Khas dan 69 Komando serta beberapa pegawai tentera sedang berbincang mengenai maklumat penting yang baru diperoleh daripada Cawangan Khas Kedah.
Berdasarkan maklumat, terdapat sepasukan pengganas komunis telah kembali menyusup masuk dari selatan Thailand ke dalam negara pada minggu pertama Mei 1971 dan membina kem sementara di sebuah ladang getah yang terletak di kawasan berbukit di Kulim.

Sesuatu perlu dilakukan bagi menyekat kemaraan kumpulan pengganas terbabit dan mesyuarat akhirnya memutuskan untuk menghantar Pasukan F yang diketuai oleh Superintenden Leong Chee Woh untuk melakukan risikan.

Ketika itu Pasukan F baru ditubuhkan oleh Chee Woh dengan kekuatan 15 orang.

Anggotanya terdiri daripada pegawai dan detektif Cawangan Khas E3M serta beberapa bekas pengganas komunis yang telah direkrut untuk berkhidmat dengan Cawangan Khas.

Selepas selesai mesyuarat, Chee Woh mengarahkan beberapa anggota Pasukan F menjalankan risikan dan beberapa minggu kemudian mereka bertemu dengan seorang penoreh yang juga pemilik ladang getah dikenali sebagai Soh Chai.

Lelaki itu sebelum ini pernah menjadi pemberi maklumat kepada pasukan Cawangan Khas Kedah.

Melalui Soh Chai, Pasukan F mendapat maklumat mengenai seorang rakannya yang telah menyertai pengganas komunis.

Rakannya memberitahu, kumpulan pengganas yang disertainya sering berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Soh Chai juga mengaku pernah membantu membeli makanan untuk pasukan komunis terbabit dan bertemu dengan mereka beberapa kali.

Selepas mendapat maklumat tersebut, Chee Woh mula merancang untuk melakukan serang hendap terhadap kumpulan pengganas itu namun, dia perlu mendapat maklumat kekuatan kumpulan pengganas terbabit dan meminta Soh Chai untuk membantu.

Walaupun tahu bukan mudah untuk meminta Soh Chai membantunya, Chee Woh dan Pasukan F berusaha memujuk dengan pelbagai cara.

Lelaki itu akhirnya bersetuju selepas Chee Woh berjanji membantu memberi dana bagi membangunkan semula ladang getah miliknya yang kurang mengeluarkan hasil.

Chee Woh tersenyum lega dan mula mengatur strategi bersama Soh Chai.

Soh Chai diminta memberitahu pasukan komunis agar tidak lagi datang bertemu dengannya untuk memesan dan mengambil makanan kerana mungkin akan diketahui pihak berkuasa.

Sebaliknya lelaki itu diminta mencadangkan kepada kumpulan pengganas komunis itu agar membina kem sementara di kawasan terpencil di sekitar ladang getah miliknya bagi memudahkan bekalan makanan dihantar ke sana.

Ketika menghantar bekalan makanan, Soh Chai diminta mengira jumlah anggota pengganas yang berada di situ serta memerhatikan jenis senjata yang mereka gunakan dan memaklumkannya kepada Pasukan F.

Strategi ini akan memudahkan Pasukan F untuk melakukan serang hendap.

ALAT PERANTI 
MENGIRA MUSUH

JAM menunjukkan pukul 6 pagi, pertengahan Ogos 1971.

Chee Woh dan anggota Pasukan F yang berada di Ibu Pejabat Taktikal Cawangan Khas, Kulim tekun mengira isyarat yang dihantar oleh Soh Chai yang sedang menghantar bekalan makanan untuk pengganas komunis di kem sementara mereka.

Isyarat berbentuk bunyi 'beep’ itu dihantar melalui buluh panjang yang dibekalkan kepada Soh Chai oleh Pasukan F bagi membantu pendakiannya menuju ke kem tersebut.

Buluh tersebut sebenarnya telah dipasang alat peranti dan Soh Chai hanya perlu menekan butang tersembunyi pada buluh itu setiap kali ternampak pengganas komunis.

Dua tekanan pertama menunjukkan Soh Chai telah sampai ke kem tersebut dan bilangan butang seterusnya menandakan jumlah pengganas komunis yang berada di kem berkenaan.

Selepas hampir setengah jam menunggu akhirnya isyarat yang dihantar oleh Soh Chai berhenti.

Berdasarkan kiraan, jumlah isyarat yang dihantar oleh Soh Chai ialah sembilan kali dan itu bermakna jumlah pengganas komunis yang berada di kem tersebut sebanyak sembilan orang.

Che Woh menarik nafas lega apabila mengetahui hanya sembilan pengganas berada di kem tersebut.

Dia kemudian menunggu kepulangan Soh Chai bagi mendapatkan maklumat lengkap dan seterusnya mengadakan mesyuarat dengan Cawangan Khas, 69 Komando dan pasukan tentera bagi menyalurkan maklumat.

Mesyuarat memutuskan untuk melancarkan serang hendap pada bulan November 1971 agar pengganas komunis tidak mengesyaki Soh Chai dan menyangka pasukan keselamatan tidak mengetahui kewujudan kem mereka di ladang getah tersebut.

Semasa menunggu ketibaan bulan November, Soh Chai diminta masuk beberapa kali ke kem sementara pengganas komunis itu bagi menghantar bekalan makanan dan dalam masa sama memerhatikan pergerakan mereka.

Tanpa disedari, dia diekori anggota Pasukan F yang sememangnya pakar menjejak musuh.

  •  BERSAMBUNG SIRI 2 MINGGU HADAPAN