Tentera laut dari kedua dua negara telah mengadakan siri latihan yang berkonsepkan Field Training Execise (FTX) di perairan Utara Selat Melaka bermula 22 hingga 29 April lalu sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17) baru-baru ini.

Majlis pembukaan eksesais ini telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada , Laksamana Pertama Abu Bakar Md. Ajis pada 23 Mac lalu di Markas Wilayah Laut 3 (Mawilla 3).

Objektif utama eksesais ini adalah untuk meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara di samping memberi peluang melatih semua anggota yang terlibat merancang dan melaksanakan latihan secara bersama. Antara aset-aset yang terlibat adalah Kapal Diraja (KD) Lekir, KD Selangor dan sebuah helikopter Fennec serta dua buah kapal Tentera Laut Pakistan iaitu PNS Saif, PNS Nasr selain pesawat Z9EC dan Sea King.

Pelaksanaan Eksesasia Malaysia-Pakistan (Ek Malpak) 1/17 melibatkan tiga fasa merangkumi fasa pelabuhan, fasa laut dan juga fasa penutup. Fasa Pelabuhan adalah fasa persiapan dan juga perbincangan serta resepsi yang bermula pada 22 Mac sebelum memasuki fasa kedua iaitu Fasa Laut.

Bagi fasa laut pula, ia telah dilaksanakan pada 27 Mac di mana kapal yang terlibat belayar dari Langkawi dan tiba di Pangkalan TLDM Lumut pada hari berikutnya. Beberapa siri latihan olah perang, termasuk penembakan meriam telah dirancang bagi mencapai matlamat dan juga objektif yang telah digariskan.

Dalam pada itu, Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli melalui ucapan penutupnya berkata, pelaksanaan Ek Malpak 1/17 kali ini merupakan platform terbaik untuk memperkasa aspek interoperability dan persefahaman komuniti maritim secara bersama.

Majlis penutup Ek Malpak 1/17 telah berlangsung di Pusat Taktikal Maritim (Pustakmar), Pangkalan TLDM Lumut dan disempurnakan oleh Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

Majlis turut dihadiri Komander Misi Tentera Laut Pakistan, Commodore Zaka Ur Rehman, pegawai memerintah dan staf kapal yang terlibat dalam eksesais tersebut.