Bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka, tampuk pemerintahan tonggak pertahanan negara itu mengadakan majlis kenaikan pangkat sebagai menghargai jasa mereka.

Seramai 23 pegawai kanan dan 14 atlet Tentera Darat dari pelbagai kor dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan pemakaian pangkat atlet yang memenangi pingat pada temasya Sukan SEA ke-29 di Wisma Perwira, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur baru baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Menurut Zulkiple, majlis tersebut diadakan sebagai salah satu penghargaan kepada pegawai dan anggota yang telah banyak berjasa dalam apa jua bidang sama ada sukan atau perkhidmatan.

“Kita berharap, ia mampu memberi suntikan semangat anggota untuk terus mengharumkan nama negara, bangsa dan negara yang menjadi sebahagian wadah perjuangan ATM.

“Selain itu, Tentera Darat juga berharap dapat melahirkan lebih ramai atlet yang mewakili Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya dalam acara tersebut baru-baru ini.

Pemakaian pangkat dalam majlis tersebut didahului atlet dari pasukan itu antaranya Staf Sarjan Mohd Hanip Che Halim yang dinaikkan pangkat dari Pegawai Waran 2 selepas beliau memenangi pingat emas dalam acara hoki dewan.

Atlet maraton yang memenangi pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA ke-29 iaitu Sarjan Muhaizar Mohamad dari Gerup Gerak Khas (GGK) dinaikkan pangkat ke Pemangku Staf Sarjan.

Selain itu, atlet lain yang menerima kenaikan pangkat dari Koperal ke Sarjan termasuklah Koperal Mohd. Syafiq Yaacob yang memenangi pingat emas dalam acara hoki dewan, Koperal Juliani Mohamad memenangi emas dalam acara hoki padang, manakala Koperal Siti Rahmah Othmanyang turut memperoleh pingat emas dalam acara hoki padang.

Bagi kenaikan pangkat dari Lans Koperal ke Koperal pula adalah Ain Kamaruddin yang merangkul pingat emas dalam acara Muay Thai kategori 54-57 kilogram (kg), Indran Rama Krishnan, gangsa acara tinju kategori 75 kg dan Nor Aniza Rahmat yang memenangi 
pingat gangsa dalam acara hoki dewan.

Bagi pangkat Prebet ke Lans Koperal pula ialah Muhammad Hairul Hazizi Haidzir yang memenangi pingat gangsa dalam acara sepak takraw, Iskandar Alwi pemenang gangsa dalam acara lompat bergalah dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang memenangi pingat perak dalam acara 100 meter dan 200 meter.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Medan Barat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin.

Selain kenaikan pangkat kepada atlet yang berjaya dalam Sukan SEA Ke-29, majlis tersebut juga mengadakan kenaikan pangkat kepada pegawai kanan pasukan itu.