Kursus tersebut yang dilaksanakan selama 12 minggu bermula 10 Julai hingga 30 September lalu diadakan bagi memilih anggota Tentera Darat yang benar-benar layak untuk berkhidmat dalam GGK.

Sebanyak 220 anggota lain-lain pangkat (LLP) dan seorang pegawai daripada pelbagai kor mengikuti kursus pada peringkat awal. Walau bagaimanapun, hanya 44 orang yang layak dianugerahkan beret hijau dan lanyard biru, pisau komando serta sijil yang menjadi kemegahan dalam kalangan anggota elit tersebut.

Majlis penutupan kursus berkenaan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang baru-baru ini.

Sementara itu, Zulkiple ketika berucap pada majlis itu berkata, situasi peperangan pada masa hadapan dan keadaan geostrategik serantau akan sentiasa berubah menjadi semakin kompleks dengan memerlukan persiapan diri dalam ilmu medan perang.

“GGK memainkan peranan yang penting dalam gabungan peperangan konvensional atau bukan konvensional sesuai dengan konsep pertahanan negara bercorak defensif.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mencari kaedah yang terbaik pada setiap masa untuk menyediakan satu angkatan kredibel dalam aspek taktikal dan strategik agar peranan untuk mempertahan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Oleh itu, komitmen tinggi diperlukan supaya sentiasa berwaspada dan bersedia untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa kerana GGK merupakan ‘pasukan pilihan’ dalam menangani sebarang ancaman yang menggugat keselamatan negara,” katanya.

Yang turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Mat Tajri Alwi; Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Panglima 4 Briged Mekanis, Brigedier Jeneral Datuk Md. Din Abu dan Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Datuk Zolkopli Hashim

Untuk melayakkan seseorang anggota tentera bergelar komando, semua peserta perlu melalui kursus yang dibahagikan kepada lima modul iaitu di peringkat kem, hutan, jalan lasak sejauh 160 kilometer (KM), paya dan laut.

Peserta yang berjaya dalam kursus asas komando kemudiannya perlu mengikuti kursus lain seperti Kursus Asas Payung Terjun, Kursus Tempur Jarak Dekat (CQB), letupan dan Kursus Rondaan Kumpulan Kecil (RKK) bagi melayakkan mereka digelar sebagai komando terlatih.

Dalam pada itu, hampir 10,000 pengunjung termasuk ahli keluarga anggota terlibat hadir untuk menyaksikan upacara tamat kursus itu.

Selain majlis penutupan, pelbagai acara lain dan demonstrasi turut diadakan antaranya pameran peralatan dan aset GGK, demonstrasi penerjunan statik di air, pertunjukan seni mempertahankan diri (SMD), demonstrasi kepakaran oleh Unit Lawan Keganasan (ULK) dan demonstrasi sukan menembak oleh International Practical Shooting Confederation (IPSC) dengan menggunakan peluru hidup.

mega utusan malaysia