SLUG GAMBAR: GADIS_S2_WINONAKUCHING 5 JULAI, 2017 -- GADIS S2
 

Winona atau nama mesranya, Sha memberitahu, walaupun dilahirkan dalam dunia serba moden dan tidak ketinggalan mengikuti perkembangan fesyen semasa, namun dia masih meminati budaya tinggalan nenek moyang bangsanya daripada suku Bidayuh Bisapug.

Menurutnya, masyarakat Bidayuh bukan sahaja tergolong dalam kumpulan minoriti tetapi amat unik berbanding kaum lain di Bumi Kenyalang kerana memiliki bahasa atau dialek percakapan berbeza.

“Berdasarkan statistik, kaum Bidayuh hanya berjumlah kira-kira 187,000 orang iaitu merupakan 8.6 peratus daripada 2.3 juta penduduk Sarawak yang bertumpu di daerah Serian, Padawan, Penrissen, Bau dan Lundu mengikut dialek digunakan.

“Kaum Bidayuh juga terbahagi kepada 29 kumpulan kecil mengikut kawasan atau perkampungan didiami.

“Misalnya, saya merupakan Bidayuh daripada kumpulan Bisapug yang hanya ada di empat kampung iaitu Kampung Simpok, Kampung Mundai, Kampung Sarig dan Kampung Pesa di Padawan, Kuching yang bertutur dalam dialek tersebut,” katanya.

Sha yang berasal dari Kampung Mundai berkata, antara kumpulan Bidayuh lain ialah Biatah, Bisitang, Biperuh, Penyewa, Biannah, Biya, Braang, Bibukar, Bau-Singai, Bau-Jagoi dan Selako.

Penuntut Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Sarawak ini memberitahu, demi kecintaan terhadap kaumnya, dia rajin bertanya asal-usul keturunan mereka daripada neneknya dan membaca bahan sejarah.

Paling istimewa, gadis cantik itu turut mempunyai bakat menari tarian tradisional pelbagai suku kaum di Sarawak terutama Bidayuh dan aktif membuat persembahan menerusi Kumpulan Penari Bung Bratak.

“Saya bekerja sebagai penari sambilan jika mempunyai kelapangan dan cuti semester kerana minat mendalam terhadap tarian tradisional, selain mencari wang saku bagi menampung perbelanjaan di universiti,” katanya.

Selain menari, Sha juga aktif menyertai pertandingan ratu cantik tradisional seperti Kumang Gawai, Dayung Sangon, Dayung Pimaguh dan Dayung Sikora di peringkat kampung serta daerah sejak 2015 yang menyaksikan dia menduduki tempat tiga teratas termasuk juara Dayung Pimaguh Bisapung 2016.