Binaan set pentas pertunjukan fesyen seakan-akan singgahsana dan permainan mewarnai keseluruhan dewan serta lampu yang juga cukup sempurna menegaskan tema koleksi tersebut yang diinspirasikan dari warna-warni bandar Jaipur, Rajasthan di utara India.

Seorang demi seorang model melangkah menggayakan sentuhan emas Rizalman dengan lagu latar Bollywood. Mewah dan berani dapat disimpulkan daripada koleksi bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi yang menggabungkan rekaan tradisional India dan Melayu tanpa memberi rekaan yang tipikal.

Mengandungi lebih daripada 100 rekaan, kerjasama antara Rizalman dan Zalora buat kali keenam ini turut menampilkan bintang terkenal, Izara Aishah sebagai ilham untuk koleksi tersebut.

Unsur dalam koleksi ini menggambarkan siluet busana tradisional India dengan tumpuan yang teliti kepada perhiasan dan tekstil. Potongan sari dan jatuhan kain yang menjadi antara ciri utama rekaan Rizalman menyerlahkan busana hitam yang dramatik.

Sementara itu, sulaman yang rapi pada skirt labuh berlisu penuh antara yang menyerlah pada rekaan Rizalman dalam menggabungkan busana tradisional lehenga dan baju kurung.

Mewah dan berani, penggunaan kain broked, krep berat, sifon bersulam, baldu dan les berkualiti meningkatkan lagi rasa klasik Bollywood yang glamor.

Kontras warna kota Jaipur turut diterjemahkan dengan penggunaan warna pada sesetengah koleksi seperti merah, jingga dan hijau yang diseimbangkan dengan warna lebih gelap serta kilauan benang emas pada sulaman atau renda menyuntik elemen mewah.

Rekaannya tidak terhad kepada koleksi yang formal. Turut menampilkan rekaan sut Shalwar Kameez menggunakan kain sifon, busana tradisi India yang lebih santai malah kardigan panjang dengan perincian cetakan bermotifkan corak inai menarik perhatian.

Mengiringi koleksi wanita, Rizalman turut mengeluarkan koleksi untuk lelaki yang dipanggil RizalMen. Ia menampilkan kurta, baju Melayu tradisional, sampin, kemeja, jubah, rompi, seluar dan sandal tradisional dengan sentuham tema Jaipur.

Rizalman For Zalora boleh didapati secara eksklusif dengan harga antara RM170 hingga RM1,271 untuk wanita manakala koleksi RizalMen pula dari RM126 hingga RM509.