Gabungan warna merah jambu pucat dan kelabu adalah antaranya, kombinasi warna penuh dengan kelembutan, agak feminin dan romantis yang boleh membawa ketenangan dan keanggunan untuk hiasan dalaman diseimbangkan dengan warna kelabu yang memberi sentuhan maskulin.

Mahukan suasana menenangkan, Nurwahida Abd Razak, 29, bersepakat dengan suaminya, Nursyazlie Abd. Rahman, 30, untuk mengubah suai hampir keseluruhan rumah berkembar dua di Senawang, Negeri Sembilan yang didiami sejak tiga tahun lalu.

Warna-warna yang lembut dipilih sebagai tema warna hiasan dalaman yang berkonsepkan minimalis Scandinavia.

Merupakan pencinta warna merah jambu, Nurwahida memilih warna merah jambu pucat dan kelabu sebagai warna utama kediamannya.

“Sebelum ini, kami melatari rumah dengan konsep warna-warni dan gelap tetapi warna tersebut membuatkan kami cepat bosan dan ruang juga kelihatan sempit. Jadi, saya dan suami sepakat untuk menukar konsep rumah dengan warna lebih lembut untuk menampakkan rumah lebih besar selain memberi ketenangan.

“Setelah membuat kajian dan mencari idea menerusi Google, Pinterest dan Instragram bagi memilih konsep sesuai, kami tertarik dengan konsep Scandinavia yang minimalis kerana ciri-cirinya sederhana dan tidak serabut.

“Dari segi warna, kami telah menggabungkan warna merah jambu, kelabu, putih dan warna tanah kerana temanya yang lebih lembut dan tenang. Saya sendiri adalah seorang peminat warna merah jambu tegar membuatkan suami setuju untuk memilih gabungan warna ini,” ujarnya yang turut berkongsi minat dengan penggemar hiasan dalaman menerusi laman Instagram miliknya, @casadeydasyaz.

Menghabiskan kira-kira RM10,000 untuk hiasan dalaman rumah, ujar Nurwahida, kos tersebut dapat dijimatkan menerusi jualan perabot lama yang tidak lagi diingini di Internet.

Terangnya, dia telah menjual semua perabot dan hiasan yang tidak menepati konsep baru rumahnya menerusi Facebook, Instagram dan Carousell serta kenalan terdekat dan ia agak mudah terjual.